WASHINGTON – Bank Dunia menjangkakan kenaikan ketara harga makanan pada tahun depan, susulan gangguan penghantaran bijirin, tanaman yang terancam akibat cuaca buruk serta kos bahan api dan baja yang tinggi.
Menurut institusi yang berpangkalan di Washington itu, harga makanan diramalkan meningkat kira-kira 10 peratus tahun ini berbanding 2025, diikuti kenaikan tambahan sebanyak tujuh peratus pada 2027.
Harga tenaga dijangka meningkat dengan lebih ketara tahun ini, dengan Bank Dunia meramalkan kenaikan hampir satu pertiga berbanding 2025 namun, harga tenaga dijangka menurun pada 2027.
Kenaikan mendadak itu sebahagian besarnya berpunca daripada perang yang dilancarkan Amerika Syarikat (AS) terhadap Iran, yang menyebabkan penghantaran komoditi melalui Selat Hormuz hampir terhenti sepenuhnya.
Selepas beberapa bulan berlalu sejak konflik bermula, aktiviti perkapalan melalui laluan strategik itu masih berada di bawah paras sebelum perang.
Institusi itu memberi amaran, harga tenaga boleh meningkat lebih tinggi sekiranya konflik di Asia Barat semakin meruncing dan kerosakan terhadap infrastruktur minyak Rusia berterusan.
