Lebih 51,000 kedai terlibat larangan

PUTRAJAYA 24 Mac – Lebih 51,000 kedai terbabit dalam larangan pameran produk merokok di kaunter jualan mulai 1 April ini, berikutan penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) bersama-sama peraturan dan perintah yang berkaitan di bawahnya mulai 1 Oktober lalu.

Menurut Kementerian Kesihatan (KKM), larangan pameran produk merokok di kaunter jualan itu adalah di bawah Peraturan 6, Peraturan-Peraturan Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam (Kawalan Penjualan) 2024.

Dalam satu kenyataan, KKM memaklumkan sejak penguatkuasaan Akta 852, KKM sentiasa memastikan setiap peraturan dipatuhi mengikut tempoh yang ditetapkan, termasuklah melalui pendidikan dan advokasi yang dijalankan secara berterusan.

Bagi memastikan pematuhan terhadap kawalan yang ditetapkan, KKM memaklumkan pendekatan penguatkuasaan secara berfasa yang berhemah, berhikmah dan berkesan telah ditetapkan.

“Penguatkuasaan yang dirancang itu telah dibahagikan kepada penguatkuasaan serta merta dan berfasa.

Selain itu, mengambil kira keberkesanan dan kesesuaian pelaksanaan di beberapa negara lain, kaedah yang dianggap paling sesuai bagi pelaksanaan larangan pameran ini adalah dengan menyediakan almari bertutup berbanding penggunaan kain atau kanvas,” menurut kenyataan itu.

Menurut KKM, perkara itu sangat penting bagi mengelakkan sebarang ketidakpatuhan yang boleh memberi ruang kepada aktiviti promosi secara tidak langsung yang bertentangan dengan semangat dan maksud larangan pameran tersebut.

KKM akan terus bekerjasama dengan pekedai bagi memastikan pemasangan almari bertutup dibuat mengikut spesifikasi, dan pematuhannya dipantau dari semasa ke semasa di mana proses ini dijangka selesai sepenuhnya menjelang 1 Oktober ini.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment