MUDA bantu PSM hadapi PRK Ayer Kuning

KUALA LUMPUR 23 Mac  – Bagi memberi peluang kepada rakyat untuk memilih alternatif,
Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) akan membantu jentera Parti Sosialis Malaysia (PSM) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, bulan depan.

Biro Politik MUDA dalam satu kenyataan, berkata parti itu menghormati pendirian PSM dan menyokong usaha memperjuang politik berprinsip yang berpaksikan rakyat, terutama dalam isu kos sara hidup, keadilan sosial, perumahan, alam sekitar dan hak pekerja serta masyarakat terpinggir.

“Keputusan PSM memberi peluang kepada rakyat untuk memilih alternatif, selain dua gabungan utama yang mendominasi politik negara. Sebagai tanda sokongan terhadap politik alternatif, MUDA akan mula bekerja bersama PSM di bilik gerakan PRK Ayer Kuning dalam tempoh terdekat.

Kehadiran MUDA di lapangan bertujuan memastikan kempen ini membawa suara rakyat dan menolak politik perkauman serta persaingan elitis yang sering membelenggu pilihan pengundi,” kata kenyataan itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April depan, manakala penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 12 dan 22 April.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan berikutan kematian penyandang kerusi itu, Ishsam Shahruddin, pada 22 Februari lalu akibat serangan jantung selepas menyertai Kejohanan Bola Sepak Empat Penjuru di Stadium Bandaraya, Georgetown, Pulau Pinang.

Susulan Itu Barisan Nasional (BN) mengumkan akan mempertahankan kerusi itu manakala Perikatan Nasional (PN) juga akan turut meletakkan calon dan semalam PSM pula mengumumkan untuk bertanding.

Timbalan Pengerusi PSM, S Arutchelvan, berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa parti yang bersidang pada 21 Mac lalu selepas mengambil kira permohonan PSM Perak.

Dalam pada itu MUDA menyeru pengundi di Ayer Kuning untuk memilih politik yang berprinsip dan membawa perubahan sebenar.

“MUDA komited untuk terus bekerjasama dengan parti politik yang berkongsi aspirasi membina politik baharu yang lebih adil, progresif dan berintegriti,” kata kenyataan itu.

Related posts

Leave a Comment