3 hotel tanpa lesen dikendali warga asing ditutup

KUALA LUMPUR 23 Mac – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menutup serta-merta tiga premis hotel yang dikendalikan warga asing tanpa lesen, dalam operasi khas KL Strike Force di sekitar ibu kota baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan di laman Facebook hari ini, DBKL mengambil tindakan itu selepas hampir seminggu melakukan siasatan dan pemantauan oleh pegawai penguat kuasa di lokasi-lokasi ‘hotspot’.

“Terdapat empat premis hotel yang beroperasi tanpa lesen perniagaan yang sah serta dikendalikan oleh warga asing. Hasil daripada operasi itu, tiga premis hotel dikenakan tindakan tutup serta-merta di bawah Akta Hotel (WPKL) 2003,” katanya.

DBKL turut mengeluarkan Notis Pemberitahuan Tentang Kesalahan di bawah Akta Hotel (WPKL) 2003 dan Notis Tawaran Kompaun di bawah undang-undang kecil (UUK) Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016 atas pelbagai kesalahan.

“DBKL akan meneruskan tindakan dan pemantauan dari semasa ke semasa di lokasi tumpuan yang dikenal pasti. Sebarang aduan, orang awam boleh berhubung atau menyalurkan maklumat dipautan https://adukl.dbkl.gov.my,” kata kenyataan itu.

Related posts

Leave a Comment