DAP ulangi kesetiaan kepada Anwar

SHAH ALAM 16 Mac –  DAP adalah rakan yang setia kepada Anwar Ibrahim dan akan terus menyokong serta mendukung kepimpinan beliau selaku Perdana Menteri, kata Pengerusi DAP Kebangsaan, Lim Guan Eng.

Katanya, komitmen itu tidak perlu dipertikaikan, dan sudah lama dibuktikan sejak era Tan Sri Lim Kit Siang sebagai Setiausaha Agung DAP sehingga kepemimpinan parti kini yang diterajui Anthony Loke.

“Says nak tekankan sekali lagi, DAP adalah satu rakan yang setia kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan sokongan kita tidak berbelah bahagi.

“DAP berasa bangga kita boleh bantu Datuk Seri Anwar menjadi Perdana Menteri dan kita akan terus beri dukungan sedemikian. Mari kita bangun dan ucapkan tahniah dan syabas kepada Perdana Menteri atas kejayaan beliau,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan alu-aluan sempena Kongres Kebangsaan DAP ke-18 di Pusat Konvensyen IDCC Shah Alam di Seksyen 15, hari ini yang turut dihadiri Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) hari ini.

Turut hadir Loke yang juga Menteri Pengangkutan; Ketua Setiausaha PH, Saifuddin Nasution Ismail; Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Presiden UPKO, Ewon Benedick dan Naib Presiden PKR, Senator K. Saraswathy.

Guan Eng turut memuji reformasi institusi dan politik hasil usaha yang dilaksanakan oleh Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan pada tahun ini.

Beliau berharap agar reformasi ekonomi boleh diambil kira dan disegerakan tahun ini sebagai membalas budi pengundi yang memberi kepercayaan kepada PH, sekali gus menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih baik untuk generasi akan datang.

Berhubung kongres DAP, Guan Eng berkata, ia menarik perhatian media massa kerana pimpinan baharu akan dipilih oleh 4,203 perwakilan dari seluruh negara yang hadir,  iaitu kehadiran paling besar dalam sejarah 59 tahun penubuhan parti itu.

“Menang atau kalah adalah perkara biasa dalam pertandingan, dan kita perlu letakkan kepercayaan kepada kebijaksanaan prosesnya,” katanya.

Related posts

Leave a Comment