SHAH ALAM 16 Mac – DAP mula ‘berlembut’ bagi membolehkan wakil rakyatnya menerima anugeraha kebesaran apabila bersedia melonggarkan syarat penerima anugerah atau darjah kebesaran daripada mana-mana Sultan atau Yang Dipertua Negeri.
Parti itu sebelum ini bertegas bahawa semua wakil rakyat harus menumpukan perkhidmatan kepada rakyat dan hanya perlu dipertimbangkan untuk sebarang anugerah selepas bersara daripada jawatan yang dipilih.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, ketika berucap pada Kongres Kebangsaan DAP ke-18 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini, hari ini.berkata keputusan itu dibuat berikutan ada wakil rakyatnya menerima tawaran anugerah secara terus daripada Sultan atau Yang Dipertua Negeri.
“Sebelum ini kita ada dasar tidak membenarkan wakil rakyat DAP terima anugerah ‘Datuk’ dan lain-lain tetapi sekarang selepas hampir 17 tahun berada dalam kerajaan negeri dan Persekutuan, kita melihat kembali syarat dan dasar ini.
“Tidak boleh terlalu ketat sebab ada kalanya Sultan sendiri yang mahu anugerahkan gelaran ‘Datuk’ kepada wakil rakyat kita,” katanya.
Loke bagaimanapun berkata, Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) akan menentukan syarat setiap tawaran penganugerahan darjah kebesaran itu.
Perlu ada syarat, nak dapat sudah tentu ada syarat. Ini akan dapat dibincangkan dalam CEC akan datang supaya dasar lebih fleksibel dapat dilaksanakan.
“Pemimpin yang sudah bersara, kita memang hargai anugerah dikurnia Tuanku terutama Tan Sri Lim Kit Siang atas penghormatan tertinggi ini,” katanya.
Loke menegaskan, kelonggaran syarat itu bukan bermaksud mana-mana wakil rakyat DAP yang menjadi menteri dan timbalan menteri ketika ini mesti diberi darjah kebesaran.
“Saya tak akan minta apa-apa. Biar saya kekal sebagai ‘encik’ atau ‘saudara’ tapi kalau ada mana-mana wakil rakyat dicadangkan Tuanku, Sultan atau Tuan Yang Terutama, mesti dibentang kepada CEC secara lebih lunak dan fleksibel, kita akan bincang dasar yang lebih longgar,” katanya.
CEC DAP sebelum ini pernah menegur makahan akan mengenakan tindakan tegas terhadap dua pemimpinnya kerana menerima gelaran Datuk ketika masih berkhidmat sebagai wakil rakyat.
Dua pemimpin terbabit iaitu Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Fong Hin dan Setiausaha DAP Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luyang, Phoong Jin Zhe yang didakwa melanggar dasar parti, yang melarang ahlinya menerima gelaran dan anugerah ketika masih memegang jawatan.