Campur BPT, BPI, 99 kertas siasatan dibuka

PUTRAJAYA 15 Mac – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melakukan pemeriksaan ke atas 308 premis pengilang dan pembungkus seluruh negara menerusi Ops Campur dan setakat ini 99 kertas siasatan dibuka berhubung kegiatan mencampur beras putih tempatan (BPT) dengan beras import (BPI).

Menteri KPDN,  Armizan Mohd Ali, berkata hasil pemeriksaan itu, bahagian penguatkuasaan, memperoleh 99 sampel beras yang disyaki mengandungi campuran BPT dan BPI, dan 17 daripada sampel itu sudah serahkan kepada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk dianalisis.

Bercakap kepada media selepas menyempurnakan Hari Bersama NGO Kepenggunaan 2025, Armizan berkata, semua sampel terbabit dihantar secara berperingkat dan sekiranya analisis MARDI mendapati ada DNA beras tempatan, tindakan undang-undang akan diambil kepada pihak berkenaan.

Katanya, KPDN menggunapakai Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730) dalam isu beras campur kerana kegiatan itu adalah satu kesalahan membabitkan dagangan palsu.

“Ada peruntukan yang melihat kepada kesalahan untuk membuat perihal dagangan palsu. Kalau mana-mana pihak menjual beras contohnya dengan label beras import tetapi sebenarnya ada kandungan beras tempatan, bermakna ia membuat perihal dagangan palsu,” katanya.

Sebelum ini, MARDI menerusi Pusat Penyelidikan Bioteknologi dan Nanoteknologi mendedahkan 40 hingga 50 peratus beras putih import (BPI) daripada 5,000 sampel yang dianalisis, disahkan bercampur dengan beras putih tempatan (BPT).

Pegawai Penyelidik Kanan Biologikal Sains (Genetik) Pusat Penyelidikan Bioteknologi dan Nanoteknologi MARDI, Mohd Shahril Firdaus Ab Razak, dilaporkan berkata kajian menggunakan teknologi pencapjarian asid deoksiribonukleik (DNA) beras itu dijalankan sepanjang 2023 dan 2024.

Susulan pendedahan itu, KPDN melaksanakan Ops Campur merangkumi perundangan di bawah akta berkenaan iaitu tindakan undang-undang akan diambil ke atas mana-mana pihak yang didapati membuat perihal dagangan palsu mengenai kandungan, jenis atau nama di bawah Seksyen 5 Akta 730.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment