ALOR GAJAH 14 Mac – Tiket perkhidmatan tren elektrik (ETS) yang dijual sejak 3 Mac lalu, kini hanya berbaki 20 peratus daripada lebih 100,000 tiket yang ditawarkan sempena perayaan Aidilfitri.tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Mohd Rani Hisham Samsudin, berkata jumlah itu termasuk 12,600 tiket tambahan bagi tempoh perjalanan yang bermula 28 Mac hingga 6 April.
Ia merangkumi empat perkhidmatan tambahan iaitu dari Gemas ke Butterworth dan dari Gemas ke Padang Besar.
“Trend sudah berubah kerana penumpang yang tidak mahu berdepan kesesakan jalan raya akan menggunakan perkhidmatan ini ketika hari raya, juga untuk tujuan ziarah.Jadi dalam tempoh lebih kurang 10 hari itu, kita sediakan tiket-tiket ETS bagi memudahkan pergerakan penumpang.
Sementara, jualan tiket KTM Intercity yang merangkumi perjalanan dari Gemas ke JB Sentral dan Kulai Sentral mencecah 60 peratus,” katanya selepas menghadiri Program Sajian Kasih Ramadan: Edaran Bubur Lambuk Kepada Penumpang KTMB sempena ulang tahun ke-140 di Stesen Pulau Sebang di sini hari ini.
Mohd Rani Hisham berkata sepanjang tempoh operasi itu, tren ETS tambahan akan menawarkan 1,260 tempat duduk sehari termasuk pilihan tempat duduk kelas perniagaan dengan jumlah keseluruhan 12,600 tempat duduk disediakan bagi memenuhi permintaan penumpang.
Terdahulu, 1,400 bubur lambuk diagihkan kepada penumpang KTMB sebagai tanda penghargaan terhadap penumpang setia mereka, selain inisiatif memperkukuhkan kerjasama dengan rakan strategik dan penduduk setempat.
Nnn
