Gerakan bantu calon Pas hadapi PRK

KUALA LUMPUR 14 Mac – Parti Gerakan akan membantu Pas menarik sokongan pengundi bukan Melayu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning bagi memastikan kemenangan calon Perikatan Nasional (PN) itu.

Presidennya, Dr Dominic Lau, berkata gerak kerja jentera kempen bagi Gerakan dan parti komponen PN bagaimanapun akan hanya dibincangkan melalui mesyuarat persiapan bagi menghadapi PRK Ayer Kuning, Sabtu.

“Melalui mesyuarat itu kita juga akan membincangkan bagaimana kita hendak memberikan sokongan sepenuhnya buat calon dari Pas.

Peranan Gerakan adalah untuk mendapatkan sokongan dalam kalangan bukan Melayu kerana Ayer Kuning adalah kerusi campuran dengan 55 peratus pengundi Melayu,” katanya pada sidang media selepas majlis berbuka puasa Gerakan bersama pengamal media, di sini.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Ayer Kuning, Perak pada 26 April depan.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Ishsam Shahrudddin, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah, Sabtu lalu akibat serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Ishsam mewakili Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti 2,213 undi apabila meraih 9,088 undi dalam pertembungan lima penjuru, mendahului calon Pakatan Harapan (6,875), Perikatan Nasional (6,812), Parti Pejuang Tanahair (105) dan Parti Sosialis Malaysia (586).

Sebelum ini Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata calon bagi DUN Ayer Kuning akan dimuktamadkan selepas mesyuarat, esok.

Pada masa sama, Dominic berkata, kemenangan di Ayer Kuning bagi PN adalah penting kerana ia berupaya menjadi isyarat yang melambangkan ketidakpuasan hati rakyat kepada kerajaan Madani.

“Kita terima aduan daripada rakyat, Perdana Menteri kerap pergi ke negara luar dan kata banyak potensi pelaburan tetapi bila turun di bawah, peniaga kata tidak nampak pun pelaburan.

“Jika ada mesti pasaran bertambah baik. Jadi PRK Ayer Kuning ini, kalau kita menang memang kerajaan tidak akan bertukar namun ia boleh menunjukkan ketidakpuasan hati rakyat kepada kerajaan,” katanya.

Sementara itu, Dominic yang juga Pengerusi PN Pulau Pinang berkata, sehingga kini tiada perbincangan di peringkat PN berhubung sebarang perubahan kepemimpinan parti yang akan menerajui Pulau Pinang.

Katanya, sehubungan itu, sehingga kini beliau masih lagi Pengerusi PN Pulau Pinang dan akan menjalankan tanggungjawab terbabit.

Sebelum ini, terdapat laporan yang meminta Pengerusi PN Pulau Pinang ditukar kerana Gerakan didakwa gagal memperoleh sokongan kaum Cina seperti yang diharapkan.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment