KUALA LUMPUR 14 Mac – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin mencadangkan kerajaan menyediakan satu Kertas Putih untuk industri padi dan beras bagi memperhalusi pelbagai isu langsung dan tidak langsung yang mengganggu kelestarian industri terbabit.
Di samping itu, beliau juga menyarankan supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan untuk menyiasat elemen ketirisan serta jenayah perdagangan sehingga mencetuskan krisis serta keresahan dalam kalangan petani dan rakyat Malaysia.
Katanya, isu ini perlu diselesaikan secara menyeluruh melibatkan setiap rantaian ekosistem padi dan beras serta penglibatan pelbagai agensi kerajaan berkaitan.
Ahli Parlimen Pagoh itu membuat saranan terbabit melalui hantaran Facebooknya
susulan sesi pembentangan mengenai isu-isu berkenaan padi dan beras dan akses kepada benih yang disampaikan oleh wakil Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSawah).
Katanya, antara perkara yang dibangkitkan ialah peningkatan kos input seperti benih, baja dan racun yang tidak berkualiti, kos perkhidmatan mesin dan jentera serta isu monopoli yang tidak menguntungkan petani.
“Para petani juga mahu harga lantai padi ditingkatkan kepada RM1,800 daripada RM1, 300 per tan metrik disebabkan kenaikan pelbagai kos tersebut,” katanya yang berpandangan, isu ini perlu diselesaikan secara menyeluruh membabitkan rantaian ekosistem padi dan beras serta pembabitan pelbagai agensi kerajaan berkaitan.
Muhyiddin pada 13 Februari lalu pernah membangkitkan cadangan seumpama di Dewan Rakyat, menggesa kerajaan mewujudkan kertas putih industri padi dan beras supaya isu berhubung industri itu dapat diselesaikan secara komprehensif.
Terdahulu Muhyiddin hadir pada Majlis Iftar Institut Masa Depan Malaysia (MASA) yang diadakan bagi meraikan kakitangan, rakan-rakan media, pemegang taruh serta rakan strategik MASA.
“Selaku Pengerusi MASA, saya gembira dapat berbuka puasa dan solat fardu Maghrib berjemaah dalam majlis yang turut dihadiri oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah, felo, Ahli-ahli Bersekutu, rakan penyelidik MASA, wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan serta kanak-kanak asnaf,” katanya.