Sultan bimbang jika ada berdegil

SHAH ALAM 19 Julai – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, menzahirkan kebimbangan sekiranya masih ada rakyat yang berdegil untuk pulang ke kampung di luar daerah sempena Hari Raya Aidiladha ini.

Justeru, baginda menasihati umat Islam agar menyambut Aidiladha di rumah masing-masing demi mengelakkan penularan wabak Covid-19 yang tidak terkawal.

Pada masa sama, baginda juga masih berdukacita kerana perayaan umat Islam yang sepatutnya disambut dengan semangat kesatuan ummah bagi mengeratkan ukhwah, terpaksa diadakan dalam keadaan yang terhad dan waspada.

Baginda turut menggesa agar orang Islam supaya mengukuhkan perpaduan dan teguh bersatu hati menuruti setiap perintah Allah SWT serta tidak mengadu domba dan bertelingkah mengenai isu-isu remeh yang tidak bermanfaat.

Demikian titah ucapan baginda sempena Hari Raya Aidiladha 1442 Hijrah menerusi facebook Selangor Royal Office, hari ini.

Pada kesempatan itu juga, baginda bersama Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin serta Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, berkenan menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya Aidiladha 1442 Hijrah kepada seluruh umat Islam di Selangor.

Baginda berharap sambutan kali ini diraikan dalam suasana sederhana dan setiap aktiviti membabitkan ibadah korban dilaksanakan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Related posts

Leave a Comment