KOTA KINABALU 10 Mac – Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah, Mustapha Sakmud tidak menolak kemungkinan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tempasuk di Parlimen Kota Belud pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) akan datang.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Sepanggar itu, berkata perkara itu masih dalam penilaian dan belum diputuskan, tertakluk kepada perundingan dengan rakan parti lain yang akan bekerjasama dengan PKR dan Pakatan Harapan (PH).
Katanya, beliau juga menilai pandangan beberapa pihak mengenai kerusi lain yang berpotensi ditandinginya berdasarkan penerimaan dan sokongan rakyat di kawasan terbabit.
DUN Tempasuk antara kerusi yang berpotensi, tapi pada masa yang sama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) juga menyatakan hasrat mahu bertanding di sana.
“Begitu juga di kerusi DUN Api-Api yang disandang Datuk Christina Liew. Beliau pun calon kita di sana, tapi GRS juga mungkin berminat meletak calon di sana.
“Jadi, kita tunggu saja selepas rundingan nanti siapa yang akan diberi laluan untuk meletak calon. Kita ada calon, orang lain pun ada calon mereka,” katanya pada sidang media PKR Sabah, di sini, semalam.
Mustapha yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi pernah bertanding di kerusi itu atas tiket PKR ketika Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN) pada September 2020, namun tewas di tangan calon Barisan Nasional (BN) ketika itu, Mohd Arsad Bistari.
Mohd Arsad yang kini menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) turut dijangka mahu mengekalkan kedudukannya atas tiket GRS.
Mustapha menyifatkan pendekatan mengumumkan lebih awal bakal calon di sesuatu kerusi bukan langkah yang sesuai sebelum kerjasama politik dibentuk kerana boleh menyebabkan pergeseran antara parti.
“Kalau boleh jangan umum calon sebelum ada kerjasama antara parti bagi mengelak pergeseran. Tapi kita tidak boleh menghalang jika ada pihak yang mahu berbuat demikian.
“Bagi PKR kita mahu menjaga integriti, kita tidak mahu mengumumkan lebih awal tanpa rundingan sebab itu adalah prosesnya dan kita berharap semua parti memahami perkara ini,” katanya.
Nnn