4 negara Eropah sokong pelan Arab

ROM – Menteri-Menteri Luar Perancis, Jerman, Itali dan Britain menyatakan sokongan terhadap pelan negara Arab untuk pembinaan semula Gaza, yang dianggarkan menelan kos AS$53 bilion (RM234 bilion).

Dalam satu kenyataan bersama, mereka mempersetujui langkah itu yang bertujuan mengelakkan pemindahan penduduk Palestin dari wilayah tersebut.

Menurut kenyataan itu, pelan tersebut menunjukkan jalan yang munasabah untuk pembinaan semula Gaza dan jika berjaya dilaksanakan, pembangunan yang cepat lagi mampan bagi memperbaiki kehidupan rakyat Palestin di Gaza yang tertekan.

Pelan yang dirangka oleh Mesir dan diterima pakai oleh pemimpin Arab pada Selasa itu ditolak oleh Israel serta Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang ada wawasan tersendiri untuk mengubah Semenanjung Gaza menjadi ‘Riviera Asia Barat’.

Cadangan Mesir itu merangkumi penubuhan sebuah jawatankuasa pentadbiran terdiri daripada teknokrat Palestin yang bebas dan profesional, bertanggungjawab mentadbir Gaza selepas berakhirnya perang antara Israel dan kumpulan pejuang Palestin, Hamas.

Jawatankuasa itu akan bertanggungjawab mengawasi bantuan kemanusiaan dan mengurus hal ehwal Gaza untuk sementara waktu di bawah penyeliaan Pihak Berkuasa Palestin (PA).

Kenyataan yang dikeluarkan oleh keempat-empat negara Eropah itu menyatakan komitmen mereka untuk bekerjasama dengan inisiatif Arab,dan menghargai ‘isyarat penting’ yang diberikan oleh negara-negara Arab melalui pelan berkenaan.

Pada masa sama kenyataan itu juga menyebut Hamas ‘tidak seharusnya mentadbir Gaza atau menjadi ancaman kepada Israel’ selain keempat-empat negara itu ‘menyokong peranan utama PA serta pelaksanaan agenda reformasinya’.

Related posts

Leave a Comment