BANGKOK – Dengan matlamat mewujudkan persekitaran bebas asap 100 peratus, Bangkok akan mengambil inisiatif baharu yang ketat untuk membanteras penjualan dan penggunaan e-rokok di sekitar sekolah.
Langkah itu diambil susulan kebimbangan semakin meningkat mengenai akses mudah kanak-kanak terhadap e-rokok, terutama melalui platform dalam talian.
Timbalan Gabenor Bangkok, Prof Madya Thavida Kamolvey mengumumkan inisiatif itu selepas mempengerusikan mesyuarat Pusat Operasi Pencegahan dan Pembanterasan Bangkok (BMA-NSOC) pada 25 Februari lalu.
Mesyuarat yang berlangsung secara hibrid di Dewan Bandaraya Bangkok (Sao Chingcha) serta melalui persidangan video menumpukan usaha memperkukuhkan kerjasama bagi menangani isu berkaitan dadah di seluruh ibu negara.
Antara agenda utama dibincangkan berkaitan perkembangan terkini pelbagai program antidadah, termasuk pertandingan media kreatif berasaskan TikTok dalam usaha meningkatkan lagi kesedaran serta laporan semasa mengenai situasi dadah di Bangkok.
Laporan kemajuan juga dibentangkan mengenai pusat pemulihan sosial bandar, bajet, projek pengukuhan komuniti dan pemantauan berterusan terhadap penggunaan ketum, kanabis dan e-rokok.
Dalam mesyuarat itu, fokus utama mengenai peningkatan ketara penggunaan e-rokok dalam kalangan generasi muda.
Pegawai kerajaan turut menyuarakan kebimbangan khusus terhadap risiko e-rokok apabila dilihat sebagai ‘gerbang’ kemasukan kepada penggunaan dadah yang lebih berbahaya.
Bagi menangani isu ini, polis bandar dikenali ‘Thesakij’ akan diarahkan untuk bekerjasama rapat dengan anggota polis dalam rondaan dan operasi bagi mencegah penjualan e-rokok dan bahan terlarang lain kepada pelajar sekolah.
Keutamaan segera adalah menghapuskan semua penjualan runcit serta perdagangan haram e-rokok di premis sekolah serta kawasan sekitarnya.
Fasa pertama ini akan diikuti dengan operasi penguatkuasaan secara holistik di seluruh bandar bagi memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap peraturan baharu ini.
Pada peringkat awal, larangan menyeluruh akan dikenakan ke atas penjualan sah dan tidak sah barang itu, diikuti penguatkuasaan akan diperluas ke lokasi lain bagi memastikan tindakan tegas dapat diambil.
Selain itu, pejabat daerah dan agensi berkaitan diarahkan untuk memastikan data yang tepat dan segera disertakan dalam sistem maklumat pusat, bagi memudahkan penyelarasan antara agensi serta perkongsian data lebih berkesan.