PBB desak Israel benarkan bantuan

BAITULMAQDIS – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendesak Israel segera membenarkan kemasukan bantuan ke Gaza,  beberapa jam selepas rejim Zionis menggantung penghantaran bantuan kemanusiaan ke wilayah terbabit.

Dalam satu kenyataan yang dimuatnaik secara dalam talian, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, menggesa agar bantuan kemanusiaan segera kembali disalurkan ke Gaza.

Beliau turut menggesa semua pihak melakukan segala usaha untuk mengelak kembalinya permusuhan agar semua tebusan dibebaskan seperti dijanjikan.

Ketua Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), Thomas Fletcher, pula menyifatkan keputusan Israel menghentikan bantuan ke Gaza sebagai situasi membimbangkan dan berkemungkinan melanggar undang-undang antarabangsa.

Fasa pertama gencatan senjata berkuat kuasa pada 19 Januari lalu, menyaksikan peningkatan bantuan ke Gaza selepas perang memusnahkan sebahagian besar bangunan, mengusir hampir seluruh penduduk dan mencetuskan kelaparan meluas.

Ketika ditanya wartawan mengenai risiko kebuluran di wilayah terbabit, Menteri Luar Israel, Gideon Saar, menafikannya dengan menyifatkan ia sebagai pembohongan.

Pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, memutuskan mulai pagi semalam, kemasukan barangan dan bekalan ke Semenanjung Gaza digantung.

Ia turut menyatakan bakal ada akibat bagi Hamas jika mereka tidak menerima lanjutan gencatan senjata sementara yang akan berpanjangan sehingga bulan Ramadan bagi umat Islam serta perayaan Paskah bagi masyarakat Yahudi.

Terdahulu, Kementerian Luar Palestin menggesa masyarakat antarabangsa untuk “memikul tanggungjawab dan menekan Israel agar membenarkan aliran bantuan berterusan ke Gaza serta menghalang Tel Aviv daripada menjadikan kebuluran sebagai senjata untuk mencapai agenda politiknya.

Kenyataan itu dikeluarkan pada Ahad selepas Israel menghentikan kemasukan bantuan kemanusiaan ke wilayah bergolak itu, hanya beberapa jam selepas fasa pertama perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tahanan tamat.

Kementerian itu memberi amaran bahawa keputusan Israel akan membawa “kesan bencana di tengah-tengah keadaan kemanusiaan yang semakin meruncing, terutamanya sepanjang bulan Ramadan.”

Ia turut mengecam keras “pempolitikan bantuan dan penggunaannya sebagai alat peras ugut,” sambil menegaskan bahawa tindakan sedemikian hanya memburukkan lagi penderitaan lebih dua juta penduduk Palestin yang sudah pun berdepan genosid dan pengusiran.

Kumpulan Pejuang Palestin, Hamas mengecam sekatan bantuan itu sebagai “peras ugut murahan, jenayah perang, dan pelanggaran terang-terangan” terhadap perjanjian gencatan senjata.

Fasa pertama perjanjian gencatan senjata selama enam minggu, yang bermula pada 19 Januari, secara rasmi berakhir pada tengah malam 2 Mac. Bagaimanapun, Israel enggan meneruskan ke fasa kedua perjanjian yang bertujuan menamatkan perang di Gaza.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment