Indonesia kurangkan harga tiket penerbangan

JAKARTA – Sempena hari lebaran, Kerajaan Indonesia mengumumkan pengurangan harga tiket penerbangan kelas ekonomi domestik sebanyak 13 hingga 14 peratus sepanjang tempoh cuti Aidilfitri tahun ini.

Pada masa yang sama, pemerintah juga memberi komitmen untuk memastikan kapasiti penerbangan dan jumlah pesawat mencukupi sepanjang tempoh cuti yang sibuk untuk menjamin keselamatan dan keselesaan penumpang.

Menteri Pengangkutan Indonesia, Dudy Purwagandhi, berkata langkah itu bertujuan meringankan beban kewangan rakyat, selain meningkatkan kemudahan serta keselesaan perjalanan.

Katanya, pengurangan harga itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk menyokong rakyat yang merancang untuk menyambut Aidilfitri di kampung halaman.

Pengurangan harga itu akan berkuat kuasa selama 15 hari dari 24 Mac hingga 7 April depan, dengan tiket boleh dibeli dari 1 Mac hingga 7 April.

“Kami mahu memastikan rakyat dapat menikmati perjalanan yang lebih berpatutan dan selesa, terutama ketika perayaan penting seperti Aidilfitri,” katanya dalam satu kenyataan.

Kementerian Kewangan pula mengeluarkan peraturan yang menyediakan subsidi separa oleh kerajaan ke atas cukai nilai tambah (VAT) untuk penerbangan kelas ekonomi domestik.

Semua tiket ekonomi domestik yang dibeli dalam tempoh terbabit akan menyaksikan VAT mereka dikurangkan kepada lima peratus, dengan baki enam peratus ditanggung oleh kerajaan.

Related posts

Leave a Comment