Sekatan keselamatan di Masjid Al-Aqsa

BAITULMUQADDIS – Israel akan mengenakan sekatan biasa bagi keselamatan awam seperti tahun sebelumnya di kawasan Masjid Al-Aqsa di Kota Lama Baitulmuqaddis sepanjang bulan Ramadan, yang bermula hujung minggu ini.

Jurucakap kerajaan Israel, David Mencer, dalam taklimat dalam talian kepada wartawan berkata, langkah berjaga-jaga akan diambil sekali lagi tahun ini.

“Apa yang tidak boleh kami benarkan – dan mana-mana negara juga tidak akan membenarkan – ialah individu yang cuba mencetuskan keganasan atau melakukan serangan ke atas orang lain,” katanya.

Setiap kali Ramadan, ratusan ribu rakyat Palestin datang untuk menunaikan solat di Al-Aqsa, tapak ketiga paling suci dalam Islam, yang terletak di Baitulmaqdis Timur, dalam kawasan yang diduduki dan ditawan oleh Israel.

Tahun lalu, ketika perang di Gaza, pihak berkuasa Israel mengenakan sekatan terhadap pengunjung ke Al-Aqsa, terutamanya rakyat Palestin dari Tebing Barat yang diduduki.

Hanya lelaki berumur 55 tahun ke atas dan wanita berusia lebih 50 tahun dibenarkan memasuki kawasan masjid ‘atas alasan keselamatan’, manakala ribuan anggota polis Israel ditempatkan di seluruh Kota Lama Baitulmaqdis.

Mengikut peraturan sedia ada, orang Yahudi dibenarkan melawat tetapi tidak dibenarkan berdoa di kawasan itu, yang mereka anggap sebagai lokasi Kuil Kedua mereka yang dimusnahkan oleh Rom pada tahun 70 Masihi.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, semakin ramai pelampau nasionalis Yahudi mencabar larangan itu, termasuk ahli politik sayap kanan Itamar Ben-Gvir, yang secara terbuka menunaikan solat di kawasan itu ketika berkhidmat sebagai menteri keselamatan negara pada 2023 dan 2024.

Kerajaan Israel berulang kali menegaskan bahawa ia akan mengekalkan status quo di kawasan tersebut, namun kebimbangan rakyat Palestin terhadap masa depannya telah menjadikannya titik panas bagi ketegangan dan keganasan.

Tahun lalu, Israel membenarkan umat Islam beribadah di Al-Aqsa dalam jumlah yang sama seperti tahun sebelumnya walaupun perang di Gaza masih berlanjutan.

Tahun ini, Ramadan berlangsung dalam keadaan gencatan senjata yang rapuh di Gaza, yang sebahagian besarnya telah menghentikan pertempuran selepas perang dahsyat yang mengorbankan puluhan ribu nyawa di wilayah Palestin itu.

Nnn

Related posts

Leave a Comment