KOTA KINABALU 2 Dis. – Parti Warisan menafikan dakwaan kononnya parti itu sedang cuba ‘membeli’ beberapa orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk memperoleh majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri.
Presidennya, Mohd Shafie Apdal berkata, komitmen Warisan sentiasa berteraskan integriti dan kepemimpinan perlu diperoleh melalui kepercayaan rakyat.
“Saya menafikan dakwaan Warisan sedang berusaha membeli atau memujuk ADUN.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pengundi yang menyokong Warisan. Kepercayaan anda amat kami hargai dan amanah itu kami pikul dengan penuh rendah hati dan penghormatan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Shafie berkata, pihaknya menghormati mandat rakyat dan proses demokrasi yang menjadi asas pentadbiran negeri Sabah.
“Kami akan terus melaksanakan peranan diamanahkan dengan penuh maruah, konsisten dan dengan iltizam tidak berbelah bahagi untuk berkhidmat kepada Sabah,” katanya.
Terdahulu terdapat sebuah portal berita mendakwa Mohd Shafie mengadakan perbincangan bersama Barisan Nasional (BN) dan beberapa parti lain bagi membentuk sebuah gabungan politik baharu untuk menerajui pentadbiran negeri.
Berdasarkan laporan berita itu, sumber dalaman GRS mendakwa Warisan cuba mengganggu kestabilan kerajaan negeri yang baru ditubuhkan dengan menawarkan jawatan menteri penuh kepada wakil BN dan lima ADUN Bebas yang memenangi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17), baru-baru ini.
Ahad lalu, Shafie pada sidang media juga menafikan ada membuat sebarang pertemuan dengan mana-mana pimpinan parti termasuk Barisan Nasional (BN) bagi membincangkan pembentukan kerajaan meskipun parti dipimpinnya itu memenangi 25 kerusi.
Katanya, dakwaan tersebut adalah tidak benar kerana dirinya terus berehat selepas penat berkempen sepanjang tempoh pilihan raya.
“Tak ada. Tapi saya pun dah letih, tidur dari malam tadi kerana terlalu penat berkempen berhari-hari. Saya sudah bekerja lebih empat tahun menuju pilihan raya ini. Tak ada saya jumpa dengan mana-mana parti pun.
“Kami akan berjumpa di Dewan Undangan Negeri (DUN) nanti (jumpa BN). Mana ada jumpa. Wallahi, wabillahi, watallahi saya tidak jumpa mana-mana pemimpin,” katanya.
Nnn
