Korea Utara uji peluru berpandu

SEOUL – Korea Utara menjalankan ujian pelancaran peluru berpandu jelajah strategiknya di Laut Kuning minggu ini dalam satu latihan bertujuan menunjukkan keupayaan ‘pencegahan nuklear negara’, sebagai ‘benteng pertahanan’.

Menurut Agensi Berita Pusat Korea (KCNA), pelancaran yang berlangsung pada Rabu itu dihadiri Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un.

Media melaporkan latihan itu bertujuan memberi amaran kepada musuh Korea Utara mengenai ‘keupayaan serangan balas, di mana-mana ruang serta kesediaan pelbagai kaedah operasi nuklear negaranya’.

Peluru berpandu itu kelihatan berlegar-legar di ruang udara selama 130 minit sebelum ‘menghentam tepat ke sasaran’,.

Ketika menghadiri latihan itu, Jong-un menyatakan bahawa menjadi tanggungjawab pasukan bersenjata nuklear Korea Utara untuk ‘mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara’.

Rakaman dalam media negara Korea Utara menunjukkan Jong-un, ditemani sekumpulan pegawainya, menggunakan teropong bagi menyaksikan tembakan peluru berpandu memusnahkan sebuah bangunan kecil di sebuah pulau berdekatan.

Bagaimanapun, tidak dinyatakan lokasi ujian itu, tetapi laman sesawang pakar NK News mengatakan ia berkemungkinan berlangsung berhampiran bandar Nampho, yang terletak kira-kira 130 kilometer dari sempadan Korea Selatan.

Hubungan antara Pyongyang dan Seoul berada pada tahap terendah sejak beberapa tahun dengan Korea Utara melancarkan sejumlah besar peluru berpandu balistik tahun lalu, melanggar sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Related posts

Leave a Comment