KUALA LUMPUR 22 April – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru segenap rakyat Malaysia supaya beriltizam untuk terus bersatu padu dan menjaga fitrah keamanan serta kedamaian di negara yang dicintai.
Seruan itu dititipkan baginda dengan mengambil pengajaran susulan musibah melanda beberapa negara luar yang berdepan konflik, peperangan dan penindasan.
Baginda mengambil contoh apa yang berlaku di Palestin, dengan menyifatkan ia umpama satu tradisi saban tahun pada hari terakhir Ramadan dan menjelang Syawal, apabila rejim Zionis melakukan provokasi melampau terhadap umat Islam Palestin.
Berikutan itu, Al-Sultan Abdullah menegaskan Malaysia dan dunia mengutuk sekeras-kerasnya serangan terhadap jemaah Palestin dan pencerobohan di Masjid Al-Aqsa oleh tentera rejim Israel.
“Banyak pengajaran dan ibrah dari musibah yang melanda rakyat Palestn untuk kita jadikan pedoman. Di negara kita Malaysia, semua bangsa dan agama bebas untuk beribadat dan menyambut kedatangan hari kebesaran masing-masing.
“Merentasi pelbagai sempadan dan perbezaan, rakyat Malaysia meraikan kedatangan hari kebesaran pelbagai agama dengan penuh keharmonian dan saling ziarah-menziarahi.
Rakyat Malaysia juga boleh meneruskan kehidupan seharian dengan penuh rasa tolenrasi dan dengan tanpa wujud jurang perbezaan antara bangsa dan agama.
Marilah kita membentuk dan sebatikan dalam setiap sanubari, jiwa serta raga untuk menjunjung kesetiaan kepada raja dan negara sebagai landasan bagi membentuk masa depan negara yang gemilang,” titah baginda sempena sambutan Aidilfitri yang malam tadi.
Selain mendoakan agar konflik di Palestin menemui noktah, Sri Paduka bersama Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah juga berdoa keselamatan serta kesejahteraan rakyat Malaysia yang terkesan dalam konflik di Sudan.
Baginda dan Raja Permaisuri Agong mendoakan agar konflik di kedua-dua negara menemui titik noktah kedamaian.
Di samping itu, mengambil keberkatan sambutan Aidilfitri, baginda mengajak semua pihak mendoakan kesejahteraan pejuang tanah air termasuk yang sudah meninggal dunia agar semuanya dikurniakan tempat mulia di Jannatul Firdausi.
Sri Paduka dan Raja Permaisuri Agong turut menghargai pengorbanan mereka yang terpaksa bertugas pada lebaran ini, terutamanya petugas perkhidmatan kesihatan, anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Tidak terkecuali semua agensi kerajaan dan orang perseorangan yang menggalas amanah menjaga kesejahteraan, keamanan serta kedaulatan negara.
Bagi yang masih memandu untuk pulang ke kampung halaman, Baginda berpesan agar sentiasa mengutamakan keselamatan dan mematuhi undang-undang yang ditetapkan.
“Semoga tuan-tuan dan puan-puan akan selamat sampai ke destinasi yang dituju dan seterusnya meraikan hari raya bersama insan yang tersayang,” doa Baginda.
