Harapan DAP lebih banyak kejayaan dicapai

KUALA LUMPUR 20 Feb.  – DAP berharap lebih banyak lagi kejayaan dicapai pada tahun ini dalam usaha melaksanakan dan menguatkuasakan pelbagai reformasi yang diperlukan untuk menjadikan Malaysia lebih baik.

Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berkata, setakat ini antara kejayaan itu adalah peranan Menteri Digital Gobind Singh Deo yang berjaya membawa kajian semula Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA)

Begitu juga peranan Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook yang juga Menteri Pengangkutan yang berjaya mendapat peruntukan yang lebih tinggi untuk Sekolah Menengah Persendirian Cina.

Guan Eng berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam sempena Ulang Tahun Kelahiran Lim Kit Siang yang ke-84 di sini malam tadi.

Kit Siang yang juga bapa Guan Eng bersara daripada politik pada Mac 2022 sebagai Penasihat Kebangsaan DAP selepas 56 tahun berkecimpung dalam politik dengan memegang jawatan utama sebagai Setiausaha Agung.

Guan Eng dalam ucapannya berkata, tiga tonggak menjadi pasak kepada kerjaya politik Kit Siang, daripada Ketua Pembangkang Parlimen kepada suara penstabil DAP dalam kerajaan untuk membantu melaksanakan pembaharuan.

Katanya, tonggak pertama Kit Siang adalah kepercayaan asasnya dalam melakukan perkara yang betul dan sanggup menanggung risiko.

“Laoda (gelaran kehormat) amat meyakini prinsip Malaysian Malaysia dan keadilan untuk semua. Hanya segelintir yang dapat menjiwai apa yang terpaksa dilaluinya apabila berulang kali ditangkap, ditahan tanpa bicara serta didakwa di mahkamah.

Kedua, kesetiaan penuh kepada parti, rakyat dan negara terserlah dengan keengganannya untuk berpaling tadah dan usaha berterusan mencari ilmu,” kata Guan Eng yang juga bekas Setiausaha Agung DAP itu.

Beliau berkata, integriti Kit Siang terserlah, begitu juga keupayaannya untuk belajar yang telah memberi inspirasi kepada ramai daripada anggota parti semasa tahun-tahun sukar sebagai pembangkang dan tahun-tahun awal dalam kerajaan.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, tonggak ketiga adalah, kesanggupan Kit Siang untuk melihat kepada gambaran yang lebih besar biarpun terdapat kos politik dan peribadi yang sama besar kepada dirinya sendiri.

“Sokongan setianya kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim adalah berdasarkan kepercayaannya bahawa Anwar dan DAP boleh melakukan reformasi yang diperlukan untuk menjadikan Malaysia lebih baik,” katanya.

Guan Eng berkata, Kit Siang sanggup bersabar untuk memberi masa kepada menteri daripada parti itu untuk melaksanakan dan menguatkuasakan pelbagai reformasi.

“Kita telah melihat ia berlaku apabila Loke Siew Fook berjaya mendapat peruntukan yang lebih tinggi untuk Sekolah Menengah Persendirian Cina dan Gobind Singh Deo berjaya membawa kajian semula SOSMA,” katanya.

Menurut Guan Eng, walaupun Laoda telah bersara, beliau tetap menjadi mangsa dan difitnah oleh golongan pelampau dan ekstrem perkauman, dengan yang terbaru kerana menjadi sepupu kepada Chin Peng.

“Ini terus membuktikan bahawa Laoda tidak mengubah prinsipnya, sama ada sewaktu pembangkang mahupun apabila DAP berada dalam kerajaan.

Bagi pemimpin kita yang terus difitnah dan diserang oleh golongan perkauman dan ekstremis, ini menunjukkan pendirian anda tidak berganjak walaupun telah memegang jawatan tinggi dalam kerajaan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment