KUALA LUMPUR 13 Feb. – Kerajaan mengarahkan siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap mahasiswa yang terbabit dalam Himpunan Rakyat Bebas Rasuah pada 25 Januari lalu dihentikan serta-merta, kata Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata tindakan sama juga diambil terhadap himpunan oleh ahli keluarga tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), berlangsung di hadapan Kompleks Penjara Sungai Buloh minggu lalu.
“Tindakan (polis) sebelum ini iaitu siasatan terhadap semua mahasiswa yang terbabit dalam himpunan bebas rasuah, siasatan dihentikan dan tidak ada tindakan akan diambil. Juga mogok lapar, tunjuk perasaan mengenai SOSMA juga tidak akan diambil tindakan,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat.
Polis sebelum ini membuka kertas siasatan berhubung himpunan oleh ahli keluarga tahanan SOSMA di hadapan Kompleks Penjara Sungai Buloh, minggu lalu, selain siasatan kes terhadap peserta terdiri mahasiswa yang menganjurkan Himpunan Rakyat Bebas Rasuah, bulan lalu.
Dalam pada itu, beliau member, kerajaan setuju untuk meminda Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736) dengan mengetepikan keperluan untuk mendapat kelulusan pemilik atau penghuni perhimpunan.
Menurut Perdana Menteri, dengan pindaan itu, penganjur hanya perlu menghantar notis pemberitahuan atau pemakluman kepada polis lima hari sebelum perhimpunan itu diadakan.
“Seksyen 11 Akta 736 (yang mensyaratkan penganjur perhimpunan) memperoleh persetujuan penghuni tempat perhimpunan yang menjadi pertikaian sekarang akan dikeluarkan dari peraturan.
Seterusnya, yang diperlukan hanya pemberitahuan atau pemakluman kepada polis, lima hari sebelum itu, supaya polis dapat jaga (dan membuat) kawalan keselamatan serta lalu lintas,” katanya.
Nnn