PM jawab isu Adendum selepas kes selesai

KUALA LUMPUR 13 Feb. –  Perdana Menteri, Anwar Ibrahim memberitahu Dewan Rakyat, beliau akan menjawab isu Titah Adendum membabitkan  Najib Razak sebaik kes itu selesai di mahkamah.

Katanya, beliau sebelum ini sudah memberi jaminan akan menjawab isu berkenaan di Parlimen.

“Tak jawab Adendum, saya dah bagitau, nak jawab macam mana, kes mahkamah.

Selesai kes mahkamah saya jawab, saya nak tengok ketua pembangkang hadir atau tidak.

“Nak lari daripada mana? Kamu boleh jerit banyak mana pun. Saya tahu faktanya, tapi nak suruh singgung kedudukan Raja, saya tak boleh. Dalam hal ini, boleh periksa saya memang (ada) hubungi (Majlis ) Raja-Raja,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Anwar berkata, beliau membangkitkan isu Adendum kerana Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) menyatakan Adendum menyebabkan pelaburan jatuh.

“Saya nak tanya angka ini dari mana? Pelaburan meningkat, jadi cakap itu tidak bertanggungjawab sebab itu kita jawab tegas. Cakap mengarut, tidak berdasarkan fakta.

“Kalau diizinkan selepas kes mahkamah, saya dah janji di sini, saya harus jelaskan. Tetapi saya tidak boleh sekarang, kerana kes itu di mahkamah tetapi pembangkang tidak peduli, subjudis tidak peduli kerana dia anggap dia lebih tinggi daripada undang-undang” katanya.

Sebelum ini, kerajaan sudah memaklumkan tindakan untuk tidak membincangkan isu Titah Adendum adalah selaras dengan prinsip pemisahan kuasa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi),  Azalina Othman berkata, urusan semakan kehakiman dan pengampunan adalah di bawah bidang kuasa mahkamah dan Lembaga Pengampunan masing-masing.

Katanya, permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh Najib Razak di Mahkamah Rayuan pada 6 Januari lalu membenarkan prosiding itu diteruskan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Related posts

Leave a Comment