Raja Abdullah tetap tolak hasrat Trump

WASHINGTON – Raja Abdullah tetap mengulangi pendirian teguh Jordan menentang pemindahan penduduk Palestin di Gaza, serta di Tebing Barat yang diduduki yang bersempadan dengan negaranya.

“Ini adalah kedudukan Arab yang bersatu. Membina semula Gaza tanpa memindahkan penduduk Palestin dan menangani situasi kemanusiaan yang teruk harus menjadi keutamaan untuk semua,” katanya di platform X.

Terdahulu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mendesak Raja Abdullah untuk menerima rakyat Palestin yang akan dipindahkan secara kekal di bawah rancangannya untuk mengambil alih Semenanjung Gaza.

Trump menegaskan beliau tidak akan berundur daripada idea pemindahan penduduk Gaza yang terjejas akibat perang dan mengubah wilayah yang musnah itu menjadi apa yang digelar “Riviera Timur Tengah.”

Desakan Trump menimbulkan kemarahan dunia Arab dengan mengatakan bahawa rakyat Palestin tidak akan dapat pulang ke rumah mereka di bawah cadangannya untuk membangunkan kawasan yang dihancurkan oleh serangan Israel.

Kami akan mengambil, mengawal, menjaga dan menjadikan ia berfungsi dengan banyak pekerjaan akan dicipta untuk orang-orang di Asia Barat,” kata Trump di Pejabat Oval ketika pertemuan dengan pemimpin negara Arab itu di Rumah Putih.

Di sebalik pendirian tegas Jordan, Trump optimis Jordan, serta Mesir akan bersetuju menempatkan penduduk Gaza kerana kedua-dua negara bergantung kepada Washington untuk bantuan ekonomi dan ketenteraan.

“Saya percaya kita akan mempunyai sebidang tanah di Jordan dan Mesir. Kita mungkin mempunyai tempat lain, tetapi saya rasa apabila selesai berbincang, kami akan mempunyai tempat di mana mereka akan tinggal dengan sangat bahagia dan selamat,” kata Trump.

Sementara itu, Menteri Luar Jordan, Ayman Safadi, berkata terdapat rancangan Arab yang diketuai Mesir untuk membina semula Gaza tanpa memindahkan penduduknya.

Jordan, yang terletak di antara Arab Saudi, Syria, Israel dan Tebing Barat yang diduduki, kini menampung lebih daripada dua juta pelarian Palestin dalam populasi 11 juta penduduknya, status dan jumlah mereka menjadi sumber kebimbangan bagi kepimpinan negara itu.

Related posts

Leave a Comment