Jika DAP berterusan campuri urusan Islam…

SEPANG 9 Feb. – Pemuda UMNO  mengingatkan DAP bahawa parti itu akan kembali menjadi pembangkang selamanya jika berterusan mengganggu gugat dan mencampuri urusan berkaitan orang Islam.

Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh, ketika mengingatkan demikian berkata, adalah menjadi prinsip UMNO untuk menjaga agama bangsa dan tanah air,bukan hanya berpolitik semberono.

“Apabila kamu mencampuri urusan agama kami,maka menjadi tanggungjawab kami orang Melayu Muslim mempertahankannya,dan bagi orang Melayu Muslim seperti kami, agama bangsa melebihi dari parti politik!

Sekali lagi amaran kami berikan kepada kamu, urusan agama kami adalah urusan kami, bukan urusan kamu! Selama ini, kami tidak pernah sentuh urusan agama kamu!” katanya dalam kenyataan melalui Facebook beliau, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pemuda DAP, Woo Kah Leong yang dilaporkan mendakwa Dr Muhamad Akmal seolah-olah bertindak sebagai ejen Perikatan Nasional (PN) dan musuh dalam selimut terhadap Kerajaan Perpaduan, sekali gus menggesanya meletak jawatan serta menyertai Pas.

Ia susulan kenyataan membabitkan dua sayap parti itu berkait isu garis panduan untuk pembabitan umat Islam dalam acara di rumah ibadat bukan Islam, yang sebelum ini menjadi polemik selepas ia dipertikaikan oleh beberapa pemimpin bukan Islam.

Dr Muhamad Akmal berkata, mana-mana pihak yang cuba mencampuri urusan agama Islam dan bangsa Melayu tidak kira siapa pun mereka maka ia menjadi tanggungjawab untuk lawan mereka.

“Sekali lagi saya ulang. Orang Melayu ini,kepentingan menjaga agama bangsa adalah melebihi dari parti politik!!! Kaduk naik junjung!,” katanya.

Terdahulu, Ketua Pemuda DAP Woo Kah Leong seperti dilaporkan Malaysiakini menggesa Dr Muhamad Akmal menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, berhubung garis panduan kontroversi yang dicadangkan untuk umat Islam.

Kah Leong memuji titah baginda dan menekankan Akmal juga seharusnya akur dengan keputusan Kabinet yang telah memutuskan isu garis panduan bagi penyertaan umat Islam dalam acara di rumah ibadat bukan Islam.

“Harap Akmal Saleh junjung titah Sultan  Selangor, dan juga akurlah dengan keputusan Kabinet yang dibuat sebab adalah tanggungjawab semua ahli politk khususnya yang berada dalam kerajaan, untuk jaga keharmonian kesejahteraan semua kaum dan agama di tanah air ini.

“Enough is enough. Simple as that (Mudah saja. Cukup-cukuplah),” katanya ketika dihubungi Malaysiakini

Beliau turut menegaskan sebagai anggota Kerajaan Perpaduan, Akmal tidak sepatutnya bersaing dengan pembangkang untuk menjadi juara konservatif, apatah lagi menentang Anwar.

“Kalau Akmal nak bertindak seolah-olah sebagai ejen Perikatan Nasional, lebih baik Akmal letak jawatan dan menyertai Pas daripada terus menjadi musuh dalam selimut dalam kalangan kerajaan perpaduan,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment