TANJONG 24 Feb. – Kerajaan Pulau Pinang menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menyiasat kes seorang Exco negeri yang ditahan, semalam, kerana disyaki memukul isterinya, kata Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.
Kon Yeow berkata, Exco terbabit yang telah dibebaskan dengan jaminan telah menghubunginya dan memohon maaf atas dakwaan isu itu dan menyatakan ia adalah masalah rumah tangga antara suami isteri.
“Difahamkan, kedua-dua pihak sudah membuat laporan polis. Saya difahamkan bahawa Yang Berhormat (Exco terbabit) memberi kerjasama kepada polis untuk menyiasat laporan itu.
Terkini, saya dimaklumkan bahawa kedua-dua pihak sudah menarik balik laporan masing-masing. Setakat ini, itu saja yang saya boleh nyatakan. Kalau ada apa-apa perkembangan, kita berharap YB sendiri (Exco itu) akan sentiasa memberi maklum balas kepada kami (kerajaan negeri) atau parti,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas dakwaan itu, ketika menghadiri Majlis Tahlil dan Buka Puasa anjuran Gabungan Liga Muslim Pulau Pinang di Masjid Kapitan Keling, di sini, hari ini.
Terdahulu, tular dakwaan dalam media sosial bahawa seorang Exco Kerajaan Pulau Pinang ditahan polis kerana disyaki memukul isteri di Pantai Jerejak, Ahad lalu.
Ditanya sama ada Exco terbabit perlu bercuti daripada tugasnya susulan dakwaan tular itu pula, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri buat masa ini, menyerahkan kepada pihak polis untuk melakukan siasatan terlebih dahulu.
“Polis pun sudah mendapatkan kenyataan dan sebagainya, jadi pada peringkat ini, kita tunggu mereka memikirkan apa tindakan seterusnya yang terbaik untuk keluarga mereka.
“Kalau kedua-dua suami isteri berkenaan ada apa-apa perancangan dan tindakan seterusnya, kita menghormati proses itu,” katanya.
Nnnnnn
