KULIM 9 Feb. – Golongan perokok dinasihatkan bertimbang rasa dengan pegawai yang bertugas di lapangan dan tidak cuba menggunakan kekerasan terhadap pegawai penguat kuasa Kementerian Kesihatan (KKM) yang mengeluarkan kompaun kerana kesalahan merokok di zon larangan.
Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni, berkata penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) adalah untuk kesejahteraan dan kesihatan orang ramai di mana 80 peratus rakyat Malaysia bukan perokok.
“Kita tidak mempunyai kes secara bertulis yang serius (laporan berlaku kekerasan), tetapi kita boleh melihat daripada reaksi di laman sosial, netizen ataupun komen yang kita lihat di mana kadang-kadang (ada) kemarahan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Wellness Hub Kulim dan Penyerahan Kunci Pusat Rekod Perubatan Zon Utara di pekarangan Wellness Hub Kulim di sini, hari ini.
Beliau berkata KKM tidak akan sewenang-wenangnya mengeluarkan kompaun berikutan kementerian mempunyai tempoh mendidik larangan merokok sebelum ini.
“Untuk rekod secara bertulis kita mempunyai hampir 14,453 notis kesalahan dan juga bagi notis larangan merokok kita mempunyai 14,337. Bagi Kedah pula notis kesalahan adalah sebanyak 493,” katanya.
Lukanisman turut menzahirkan kebimbangan terhadap penggunaan vape atau rokok elektronik kerana ia lebih menarik dan mudah diperoleh.
Katanya, KKM kini giat menjalankan kajian berkaitan kesan-kesan sampingan akibat penggunaan vape.
“Sebagai contoh, penyakit paru-paru iaitu E-Cigarette or Vaping Product Use-Associated Lung Injury ( EVALI), yang berpunca daripada rokok elektronik termasuk vape… dalam tempoh dua minggu rawatan melibatkan kos hampir lebih RM100,000 dan ini akan membebankan,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan membelanjakan hampir RM200 juta untuk saringan kesihatan berkaitan penyakit akibat merokok termasuk kanser.
Nnn