SINGAPURA – Singapura merancang untuk menghantar bantuan kemanusiaan ketujuh ke Gaza melalui Jordan yang mengandungi makanan, bekalan penting, dan bekalan perubatan.
Menteri Luar Dr Vivian Balakrishnan memberitahu Parlimen, aturan penghantaran bantuan telah disahkan dengan rakan sejawatannya dari Jordan, Ayman Safadi.
“Ia akan diangkut menggunakan pesawat Pengangkutan Tangki Pelbagai Peranan (MRTT) Tentera Udara Republik Singapura (RSAF), dan kami akan menyerahkannya kepada rakan kongsi kami di Jordan,” katanya.
Beliau menjawab Soalan Parlimen yang dikemukakan Ahli Parlimen (MP) West Coast GRC, Ang Wei Neng serta soalan tambahan oleh beberapa MP yang lain.
Balakrishnan berkata sejak bermulanya konflik Israel-Hamas pada Oktober 2023, Singapura dan rakyat Singapura telah menyumbangkan enam agihan bantuan kemanusiaan bernilai lebih S$19 juta.
Katanya , Singapura akan terus menyumbang secara dua hala atau bekerjasama dengan pihak lain di rantau itu, memandangkan keperluan pembinaan semula yang signifikan untuk Gaza.
“Kami juga bersedia, melalui Pakej Bantuan Teknikal Dipertingkatkan kami, untuk menyokong program latihan di Gaza, dengan kerjasama Pihak Berkuasa Palestin,” tambahnya.
Balakrishnan berkata Singapura menggesa semua pihak untuk mematuhi terma perjanjian, terutamanya untuk membolehkan bantuan kemanusiaan mengalir, yang penting untuk mengurangkan situasi kemanusiaan yang teruk.
Nnn
