GAZA CITY – Hamas mengesahkan rundingan fasa kedua perjanjian gencatan senjata Gaza dan pertukaran tahanan telah bermula dengan tumpuan kepada perlindungan, bantuan serta usaha membangunkan semula kehidupan rakyat di Gaza.
Jurucakap kumpulan itu, Abdel Latif al-Qanoua, dalam satu kenyataan berkata, perlindungan dan bantuan kemanusiaan adalah keutamaan mendesak yang tidak boleh tertakluk kepada kelewatan oleh Israel.
Qanoua menegaskan bahawa usaha membangunkan semula hospital, membaiki jalan raya serta memulihkan telaga air adalah penting bagi menghidupkan kembali Gaza selepas kemusnahan besar akibat perang Israel.
Israel pada awal Selasa menyatakan bahawa pihaknya akan menghantar pasukan perunding ke Qatar hujung minggu ini bagi membincangkan fasa kedua perjanjian Gaza.
Satu kenyataan daripada pejabat Perdana Menteri Benjamin Netanyahu menyatakan bahawa pasukan itu akan membincangkan “butiran teknikal berkaitan meneruskan pelaksanaan” perjanjian tersebut.
Pengumuman itu dibuat selepas pertemuan antara Netanyahu dengan utusan khas Amerika Syarikat Steve Witkoff dan Penasihat Keselamatan Negara Michael Waltz di Washington, apabila mereka membincangkan fasa seterusnya perjanjian gencatan senjata Gaza.
Rundingan bagi fasa kedua perjanjian itu dijadualkan bermula pada Isnin, namun Netanyahu memutuskan untuk tidak menghantar pasukan perundingnya ke Doha sehingga selepas pertemuannya dengan Trump pada Selasa.
Nn