DAPSY tolak laksanakan semula GST

PETALING JAYA 5 Feb. – Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) membantah cadangan dilaksanakan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang didakwa tidak sesuai buat masa ini kerana pendapatan rakyat masih di tahap yang rendah.

Setiausaha Kebangsaan DAPSY, Lim Chun Weng, berkata walaupun GST adalah sistem cukai yang lebih berkesan dan adil, namun rakyat berpendapatan rendah akan membayar bahagian lebih besar berbanding mereka berpendapatan tinggi.

“Jumlah RM100 dari golongan pendapatan rendah adalah lebih tinggi nilainya berbanding dengan yang berpendapatan tinggi. Pendapatan rakyat Malaysia masih rendah, gaji rakyat Malaysia pada waktu ini adalah RM 2,844 sahaja.

Hanya 16.5 peratus rakyat Malaysia mampu membayar cukai pendapatan dengan lebih daripada 60 peratus rakyat menerima pelbagai bantuan daripada kerajaan termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh yang mencadangkan pelaksanaan semula GST bagi menambah pendapatan negara yang ternyata lebih adil dan terbukti berkesan di seluruh dunia.

Katanya, walaupun kenaikan tarif elektrik diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hanya akan dikenakan kepada komuniti bisnes tetapi kesan dominonya tetap akan dirasai rakyat.

Justeru, beliau bertanyakan jaminan kerajaan sama ada langkah itu tidak akan memberi kesan kepada kenaikan harga barang dikeluarkan kilang.

Chun Weng berkata, jumlah gaji bersih yang diterima golongan berpendapatan rendah adalah lebih kecil berbanding mereka berpendapatan tinggi.

“Hal ini bermakna dari segi keupayaan (liquiditi) kewangan mereka adalah lebih rendah, kehidupan mereka akan terjejas kalau cukai dikenakan.

“Sekiranya barangan dikenakan cukai, maka ia akan menyebabkan rakyat kurang berbelanja seterusnya menjejaskan ekonomi tempatan yang beransur pulih dari wabak Covid-19,” katanya.

Dalam pada itu, Chun Weng menyatakan misi utama kerajaan ketika ini adalah untuk menambah pendapatan rakyat terlebih dahulu.

“Kita perlu memastikan pendapatan golongan berpendapatan rendah dinaikkan dahulu sebelum apa-apa cukai baharu dikenakan kepada mereka.

“Usaha sedia ada kerajaan adalah menaikkan siling dan menaikkan lantai sebagai asas Kerangka Ekonomi Madani yang mana kita cuba sedaya upaya untuk menaikkan kemampuan ekonomi negara dan pendapatan rakyat Malaysia.

“Antara usaha yang dibuat adalah kerajaan Madani naikkan gaji pekerja sektor awam dan gaji minimum supaya negara ini mampu “menaikkan lantai.”

“Pada masa yang sama, kita melancarkan dasar dan perancangan ekonomi seperti ‘Johor Singapore Special Economic Zone’ bagi menarikkan pelaburan yang berkualiti serta wujudkan pekerjaan pendapatan tinggi.

“Inilah reformasi ekonomi yang kita bawa bagi meningkatkan pendapatan negara. Kenaikan cukai adalah jalan yang paling mudah untuk menjana pendapatan, tetapi Kerajaan Madani prihatin dan memilih jalan yang susah bagi menyenangkan rakyat,” katanya.

Related posts

Leave a Comment