Rujuk umrah, ziarah di laman sesawang

MAKKAH –  Masyarakat Islam yang berhasrat menunaikan umrah dan menziarahi Masjid Nabawi disaran supaya merujuk “Panduan Umrah dan Ziarah” yang tersedia di laman sesawang Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi

Bahan rujukan berkenaan yang disediakan dalam 16 bahasa menyediakan maklumat berkaitan ibadah dan pengurusan bagi membantu jemaah membuat persediaan serta melaksanakan umrah dan ziarah dengan lancar dan tenang.

Ia merangkumi setiap peringkat termasuk persediaan sebelum berlepas, urusan visa, syarat kemasukan, ihram, pelaksanaan ibadah, pengangkutan, ziarah ke Masjid Nabawi dan prosedur pulang.

Orang ramai boleh mengakses panduan berkenaan menerusi laman sesawang https://haj.gov.sa/en/Awareness-Center/Awareness-Guides/Umrah-and-Visit-Guide.

Maklumat disusun mengikut turutan bagi membolehkan jemaah dan pengunjung mendapatkan rujukan yang bersesuaian dengan setiap peringkat secara pantas.

Ia turut dilengkapi peta interaktif, pautan kepada kemudahan digital dan panduan visual bagi membantu pelaksanaan ibadah mengikut sunnah serta memudahkan penggunaan kemudahan yang disediakan.

Antara kandungannya ialah penerangan terperinci mengenai miqat, adab berihram, tawaf, sa’i, solat di Dua Masjid Suci dan adab menziarahi tempat suci.

Turut disertakan ialah arahan pengurusan, garis panduan kesihatan dan keselamatan, nombor telefon kecemasan serta pautan terus ke platform elektronik bagi mendapatkan maklumat rasmi terkini.

Menurut kementerian itu, penerbitan berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif untuk meningkatkan kefahaman, menggalakkan pematuhan terhadap peraturan dan membantu jemaah menunaikan ibadah dengan lebih teratur serta tenteram.

Inisiatif itu juga mencerminkan usaha kementerian untuk terus meningkatkan mutu kemudahan bagi jemaah umrah dan pengunjung.

Nnnnn

Related posts

Leave a Comment