WASHINGTON – Beberapa jam sebelum Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif ke atas Mexico dan Kanada, Presiden Donald Trump mengumumkan penangguhan itu selepas berbincang dengan pemimpin kedua-dua negara semalam.
Tarif yang dicadangkan termasuk duti sebanyak 25 peratus ke atas semua import dari Mexico dan kebanyakan import dari Kanada (pengecualian tarif 10 peratus ke atas produk tenaga), serta tarif baharu 10 peratus ke atas barangan China.
Trump menangguhkan tarif ke atas negara jiran AS selepas Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum dan Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau, bersetuju untuk meningkatkan kawalan di sempadan mereka dengan Amerika Syarikat.
“Saya baru sahaja bercakap dengan Presiden Claudia Sheinbaum dari Mexico. Ia adalah perbualan yang sangat mesra di mana beliau bersetuju untuk menghantar 10,000 tentera Mexico ke sempadan antara Mexico dan Amerika Syarikat,” tulis Trump di Truth Social.
Katanya , anggota tentera ini akan ditugaskan khusus untuk menghentikan aliran fentanyl (sejenis dadah) dan pendatang tanpa izin ke negara kita.
Trump kemudian mengumumkan perkara yang sama mengenai Kanada selepas Trudeau terlebih dahulu mengumumkan penangguhan tarif selama 30 hari.
“Kanada telah bersetuju untuk memastikan keselamatan sempadan utara kita dan akhirnya menghentikan ancaman maut dadah seperti Fentanyl yang telah mengalir masuk ke negara kita, membunuh ratusan ribu rakyat Amerika serta memusnahkan keluarga dan komuniti di seluruh negara,” tulis Trump.
Bagaimanapun, menurut laporan CNN, Kanada hanya menyumbang 0.2 peratus daripada jumlah rampasan fentanyl di sempadan AS.
Selepas berbincang dengan Trump, Trudeau berkata, Kanada akan melaksanakan pelan sempadan bernilai AS$1.3 bilion yang telah diumumkan sebelum ini, serta melantik seorang “czar fentanyl” dan menyenaraikan kartel dadah sebagai organisasi pengganas.
Langkah drastik terhadap tiga rakan dagang terbesar Amerika menimbulkan kebimbangan, termasuk dalam kalangan parti Trump sendiri, serta menggegarkan ekonomi Amerika Utara, mengganggu pasaran perniagaan dan meningkatkan ketidaktentuan dalam kalangan pengguna yang masih bergelut dengan inflasi tinggi selama bertahun-tahun.
Terdahulu janji tarif Trump telah mencetuskan perang perdagangan.
Kanada telah mengumumkan tarif balas, manakala China menyatakan ia akan mengambil “langkah tindak balas yang perlu.”
Perintah eksekutif Trump yang menggerakkan tarif ini turut mengandungi klausa tindak balas yang membolehkan AS mengenakan tarif lebih tinggi dan meningkatkan kos perdagangan.
Trump juga mencadangkan pusingan tarif tambahan bulan ini, mungkin terhadap negara lain.
“Ini adalah perang dadah dan adalah penting agar rakyat Kanada memahami bahawa apa yang kita lakukan ialah menghentikan pembunuhan rakyat Amerika akibat dadah berbahaya,” kata penasihat perdagangan White House, Peter Navarro, sebelum tarif ke atas Kanada ditangguhkan.
Nnnn