Tiada perbincangan BN singkir MCA

KUALA LUMPUR 4 Feb. – Hanya mereka yang bermimpi di siang hari saja yang mencadangkan supaya berlaku penyingkiran MCA daripada Barisan Nasional (BN), kata Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pengerusi BN itu berkata, tidak ada sebarang perbincangan untuk menyingkirkan MCA sebaliknya komitmen gabungan itu sangat jitu dalam mengekalkan rakan parti komponen terasnya iaitu MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

“Kita tidak akan pernah terpengaruh dengan sebarang desakan untuk menyingkirkan mana-mana parti komponen dalam BN.

Tidak pernah (berlaku perbincangan), hanya mereka yang bermimpi di siang hari saja yang mencadangkan itu berlaku,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Koordinasi Inap Desa di Parlimen, hari ini.

Sebelum ini, Presiden MCA, Dr Wee Ka Siong mendedahkan, ada ‘orang luar’ tertentu mencadangkan parti pimpinannya disingkirkan daripada BN dan susulan itu MCA menunggu keputusan daripada UMNO berhubung perkara itu.

Wee dilaporkan berkata, sesetengah orang yang tidak pernah menjadi sebahagian daripada BN kini menikmati hubungan rapat dengan UMNO dan ironinya mereka adalah pihak sebelum ini menuduh MCA mengkhianati masyarakat Cina kerana hubungannya dengan UMNO.

“Pada masa itu, MCA dipersalahkan kerana kamu (UMNO). Kami dilabel sebagai pengkhianat kepada orang Cina, dituduh terlalu rapat dengan kamu – dan tuduhan ini datang daripada mereka (orang luar).

Sekarang mereka ini menasihatkan anda untuk menyingkirkan MCA, kami tunggu,” kata Ahli Parlimen Ayer Hitam itu.

Wee membuat kenyataan ini dalam wawancara bersama dengan akhbar Cina dan melalui video temu bual itu, Wee menekankan bahawa “orang luar” itu kini memegang jawatan kerajaan bersama UMNO.

Presiden MCA itu juga menjelaskan MCA tidak dengki dan tidak cemburu dengan keakraban baru mereka (orang luar dan UMNO).

Ka Siong juga menyatakan bahawa apabila pemimpin UMNO tertentu membuat kenyataan, selalunya “orang luar” itu – dan bukannya daripada parti komponen BN – yang menyokong mereka.

“Apa yang saya ingin katakan ialah ini – setiap kali anda orang luar mendengar sesuatu yang anda tidak suka, reaksi pertama anda ialah menuntut penyingkiran MCA.

Malah anda mendakwa bahawa MCA tidak sepatutnya menjadi sebahagian daripada kerajaan. Tetapi pernahkah anda mengambil masa sebentar untuk memikirkan apakah isu sebenar?” soalnya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment