85% rakyat tidak terlibat kenaikan tarif elektrik

85 peratus rakyat tidak terlibat kenaikan tarif elektrik

KUALA LUMPUR 4 Feb. – Anwar Ibrahim menegaskan kadar kenaikan tarif elektrik hanya akan membabitkan industri dan akan berlaku mengikut kaedah Ketidakseimbangan Pelepasan Kos Bahan Api (ICPT) mulai Julai depan.

Perdana Menteri berkata beliau menyatakan perkara itu dengan jelas, yang mana kadar kenaikan itu tidak akan sesekali membabitkan 85 peratus rakyat.

“Dengar betul-betul. Ini (kenyataan kata kerajaan bertindak secara ‘flip flop’ kerana) dengar dengan sentimen marah. Ini penyakit marah, bukan penyakit fakta ekonomi,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Justeru beliau menolak tuduhan pembangkang yang mendakwa kerajaan bertindak secara ‘flip flop’ dalam isu kenaikan tarif elektrik, menyifatkannya sebagai kenyataan yang dipengaruhi perasaan marah dan bukannya berasaskan fakta.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) yang mempersoal mempersoalkan tindakan kerajaan yang didakwa bersikap ‘flip flop’ dalam isu kenaikan tarif elektrik, yang didakwa boleh membawa ketidakyakinan kepada pasaran.

Mengulas mengenai kenyataan beliau berhubung kenaikan tarif industri ketika satu majlis semalam, Perdana Menteri menegaskan kadar kenaikan dinyatakan beliau itu sebagai maklum balas kepada ucapan Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM), Datuk Ng Yih Pyng.

“Saya beri maklum balas (mengenai kenaikan tarif elektrik itu) kepada permohonan beliau (Yih Pyng), faham…. bukan (maklum balas) kepada negara, bukan kepada rakyat.

“Saya kata kenaikan itu pun tidak sampai 14 peratus seperti diumumkan, maknanya saya respon kepada industri kerana kenaikan tarif ini kepada industri dan golongan maha kaya.

“Kita pertahankan (pendirian) ini, apa dia (pandangannya)… kalau tidak (dikenakan) cukai pada orang kaya, nak tambah peruntukan untuk sekolah, hospital dari mana wangnya.

“Jadi kita kena terima kenyataan, kenaikan tarif yang munasabah bagi industri dan golongan kaya dan saya kata, kita tidak tolak ansur dan terpaksa naikkan tetapi tidak membabitkan 85 peratus rakyat,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri memberi jaminan sebarang kenaikan tarif elektrik pada separuh kedua tahun ini tidak akan membebankan atau merugikan komuniti perniagaan.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, Perdana Menteri turut menegaskan bahawa isi rumah berpendapatan rendah akan terus tidak terjejas oleh semakan tarif berkenaan.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, pertumbuhan ekonomi negara ketika ini jauh meningkat dan meyakinkan, berbanding ketika Perikatan Nasional (PN) memerintah.

“Ikut fakta dan data, ekonomi bukan wayang. Faktanya ringgit masih mengukuh walaupun keadaan geopolitik tidak menentu dan tarif dikenakan kepada negara lain.

Itu faktanya, autanya lain, maknanya kita harus bezakan,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment