Hampir 20,000 pelajar terlibat vape

KUALA LUMPUR 4 Feb. – Hampir 20,000 pelajar terjebak dalam penggunaan rokok elektronik atau vape tahun lalu, berdasarkan statistik yang direkodkan dalam Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM), kata Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh.

Katanya, pada 2024, sebanyak 19,450 murid dilaporkan terbabit dan ini merupakan 0.38 peratus daripada jumlah keseluruhan murid di bawah Kementerian Pendidikan.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) yang meminta KPM menyatakan statistik pembabitan murid sekolah dengan rokok elektronik atau vape.

Menurut Kah Woh lagi, pada tahun lalu juga, trend merokok dalam kalangan murid sekolah mencatatkan penurunan.

Mengikut data SSDM, beliau berkata 3,704 murid bersamaan 0.07 peratus daripada keseluruhan murid dikesan terjerumus dalam kegiatan merokok.

“Untuk semua kes yang saya nyatakan, boleh nampak bahawa trend murid terlibat dalam merokok menurun, tetapi untuk vape adalah meningkat.

“Untuk semua kes terbabit ini juga, (KPM) melalui sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) telah mengambil tindakan terhadap murid berkenaan dengan berpandukan garis panduan dan juga surat siaran yang sedia ada,” katanya.

Justeru, beliau memohon kerjasama semua pihak termasuk masyarakat dan ibu bapa agar membantu KPM dalam meningkatkan kesedaran tentang keburukan bahaya rokok elektronik dan vape ke atas anak-anak.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment