Mengapa sewa helikopter mahal?

KUALA LUMPUR 4 Feb. – Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin, mendakwa wujud skandal baharu terpalit kerajaan berkaitan sewaan 28 helikopter jenis AW139 yang bernilai RM16.6 billion.

Beliau mempersoalkan mengapa sewaan helikopter berkenaan begitu mahal sedangkan negara lain boleh membelinya dengan harga lebih rendah.

Ahli Parlimen Larut itu berharap kerajaan mengambil tindakan sewajarnya agar generasi akan datang tidak terpaksa menanggung bebanan hutang ekoran kos terpaksa ditanggung untuk helikopter berkenaan.

“Semalam Yang di-Pertuan Agong bertitah jangan ada perkara-perkara peribadi yang dibawa dan mesti mempertahankan untuk rakyat. Ini yang saya nak pertahankan.

Kenapa kerajaan membuat dasar menyewa helikopter (dengan kos) yang terlalu tinggi harganya.

“Walhal syarikat yang dapat itu telah pun (buat permohonan) masa saya menjadi Menteri Dalam Negeri. Mereka memohon membuat dasar yang sama, kontrak yang sama.

Saya serahkan pada pegawai kerajaan, dan mereka buat siasatan buat kajian dan bawa kepada saya… tidak elok untuk gunakan dasar sebegitu),” katanya semasa membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat petang ini.

Hamzah mendedahkan ada bukti bahawa baru-baru ini helikopter yang dibeli oleh Poland murah.

“Poland menandatangani sebuah kontrak bernilai 8.25 bilion zlotys (AS$1.83 bilion) untuk membeli 32 helikopter AW149 dari Leonardo, sebuah syarikat kumpulan pertahanan dari Itali

“Ini menunjukkan bahawa mereka beli murah sangat. Yang kita (Kerajaan) ini tandatangan kontrak 28 buah helikopter bernilai RM16.6 bilion (untuk) sewa pula tu,” katanya.

Dengan kontrak sewaan semahal itu, Hamzah berkata lebih baik kerajaan membeli helikopter dan memberi kontrak perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) kepada syarikat tempatan.

Katanya tindakan itu sekali gus dapat juga membuka peluang pekerjaan kepada warga negara.

“Lebih baik, untuk kita membeli dan bagi kontrak MRO kepada pengusaha-pengusaha dalam negeri, dan memberi peluang pekerjaan yang lebih. Semua itu perkara-perkara yang diambil kira dan saya menolaknya,” katanya.

Sebelum ini Menteri Pertahanan, Mohamed Khaled Nordin menerusi ucapan penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 memaklumkan, sebanyak 28 helikopter akan disewa kerajaan menerusi kontrak bernilai RM16 bilion bagi tempoh 15 tahun.

Menurutnya, pajakan helikopter itu dibuat untuk beberapa agensi termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan 12 buah akan digunakan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM); Polis Diraja Malaysia (PDRM) (7); Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) (2); Jabatan Bomba dan Penyelamat (JPBM) (2) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) (4).

Nnn

Related posts

Leave a Comment