SEKINCHAN4 Feb. – Kerajaan mengekalkan ketetapan tiada lagi tol percuma pada musim perayaan tahun ini sebaliknya akan melaksanakan pemberian diskaun tol 50 peratus seperti diperkenalkan sempena Tahun Baharu Cina baru-baru ini.
Menteri Kerja Raya, Alexander Nanta Linggi, berkata Kabinet telah memutuskan ketetapan itu tahun lalu untuk menyelaraskan pemberian subsidi supaya lebih tersasar kepada mereka yang memerlukan bantuan.
“Jadi, keputusan itu memang tetap dan tak ada lagi pada tahun ini (tol percuma). Seperti sedia maklum, minggu lepas Tahun Baharu Cina bukan diberi tol percuma, tetapi diskaun 50 peratus.
Disebabkan itu, untuk Aidilfitri dan perayaan lain (sepanjang) tahun ini kita akan buat diskaun 50 peratus,” katanya ketika ditemui sewaktu lawatan ke lokasi tapak pembinaan jejantas laluan motosikal dan pejalan kaki berhadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Leman, di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, Nanta Linggi memaklumkan Kabinet boleh memutuskan dalam soal berkaitan kemudahan diskaun tol 50 peratus untuk musim perayaaan dan bertukar pandangan mengikut keperluan.
“Semua tol dibiayai oleh kerajaan dan bukannya dibiayai syarikat konsesi. Saya berharap rakyat tahu akan perkara ini (duit rakyat dibelanjakan).
“Kalau tol percuma, kita menggunakan lebih RM100 juta setahun. Jika diskaun 50 peratus, kira-kira RM 80 juta kerajaan akan bayar kepada syarikat konsesi dan penjimatan ini boleh digunakan untuk kerja-kerja penyelenggaraan,” katanya