KUALA LUMPUR 4 Feb. – Dewan Rakyat hari ini diberitahu, kerajaan akan mengumumkan kenaikan harga lantai padi baharu pada kadar yang munasabah minggu depan.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, kenaikan itu bakal diperincikan secara lanjut oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, di Dewan Rakyat.
Bagi mengimbangi harga beras dalam pasaran susulan kesan kenaikan harga lantai padi yang baharu itu, beliau berkata, kerajaan juga akan memperuntukkan subsidi bernilai RM150 juta bagi tempoh enam bulan.
“Kita juga kena tambahan lagi subsidi RM150 juta minimum dari kerajaan supaya kos pengguna tidak naik.
Kita tidak boleh bicara satu pihak sahaja untuk pertahan pengguna tetapi memangsakan pesawah dan nak naikkan (harga lantai padi) untuk pesawah sehingga memangsakan pengguna kerana pengguna miskin B40 pun ramai.
“Minggu depan paling akhir, Menteri (Pertanian dan Keterjaminan Makanan) akan beri penjelasan dengan pengumuman kenaikan harga (lantai padi) yang munasabah dengan subsidi daripada kerajaan yang bertambah,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Hamzah Zainudin (PN-Larut) yang menggesa kerajaan menaikkan harga lantai padi seperti mana terkandung dalam memorandum Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH).
Tuntutan itu disenarai PeSAWAH melalui memorandum yang diserahkan kepada Pejabat Perdana Menteri (PMO) dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) hari ini, dengan satu lagi isu membabitkan bantahan terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Kualiti Benih Tanaman.
Pada 27 Januari lalu, PeSAWAH membangkitkan dua isu antaranya mempertimbang supaya kerajaan menaikkan harga lantai padi daripada RM1,300 per tan kepada RM1,800.
Tuntutan itu disenarai PeSAWAH melalui memorandum yang diserahkan kepada Pejabat Perdana Menteri (PMO) dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), dengan satu lagi isu membabitkan bantahan terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Kualiti Benih Tanaman.
Nnn