THE HAGUE – Sembilan negara, dijangka membentuk Kumpulan The Hague dalam menegakkan undang-undang antarabangsa, menangani ancaman terhadap Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dan mempertahankan hak rakyat Palestin.
Bagi tujuan itu, satu mesyuarat melibatkan Malaysia, Belize, Bolivia, Chile, Colombia, Honduras, Namibia, Senegal dan Afrika Selatan akan diadakan
Kumpulan berkenaan dijangka mengumumkan langkah undang-undang, ekonomi serta diplomatik yang terselaras bagi memastikan Israel bertanggungjawab atas pelanggaran undang-undang antarabangsa, termasuk tindakan berterusannya di Gaza.
Pengumuman dijangka dibuat dalam sidang media pada sebelah petang yang dianjurkan oleh Progressive International, sebuah organisasi politik antarabangsa.
Penyelaras Bersama Progressive International, Varsha Gandikota-Nellutla dalam satu kenyataan bersama pada Jumaat (31 Jan) berkata, Kumpulan The Hague lahir daripada keperluan.
“Dalam dunia di mana negara berkuasa bertindak sewenang-wenangnya, kita mesti bersatu mempertahankan prinsip keadilan, kesaksamaan dan hak asasi manusia,” katanya.
Mesyuarat ini akan meneroka tindakan bersama di peringkat nasional dan antarabangsa dalam menyokong undang-undang antarabangsa serta hak rakyat Palestin ketika krisis berterusan ini.
Perbincangan ini akan berlandaskan tindakan yang telah diambil oleh negara-negara berkenaan, termasuk keputusan Belize dan Bolivia untuk memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel.
Chile pula merujuk situasi di Palestin kepada ICC pada Januari 2024 serta menarik balik duta negara itu dari Israel manakala Colombia menggantung pembelian senjata dan eksport arang batu ke Israel serta memutuskan hubungan diplomatik.
Honduras pula secara konsisten mengutuk tindakan genosid terhadap rakyat Palestin, manakala Malaysia mengenakan larangan maritim terhadap kapal berkaitan Israel daripada berlabuh di pelabuhan negara ini dan tidak menjalinkan sebarang hubungan diplomatik dengan Israel.
Namibia pula telah menyekat sebuah kapal yang membawa penghantaran peralatan ketenteraan ke Israel serta mengutuk keputusan Jerman untuk menyokong Israel dalam kes genosid yang dibawa oleh Afrika Selatan , sambil mengimbau kembali sejarah Jerman dalam genosid di Namibia antara 1904 dan 1908.
Senegal, di bawah kepimpinan Perdana Menteri Ousmane Sonko, komited untuk mengambil “tindakan lebih konkrit” dalam menyokong hak rakyat Palestin.
Afrika Selatan telah mengambil langkah bersejarah dengan mengemukakan kes terhadap Israel di ICJ atas pelanggaran Konvensyen Genosid, sekali gus mencipta satu duluan penting dalam undang-undang antarabangsa.
Nnn