Choo Kiang Speaker DUN Pulau Pinang

TANJONG 29 Ogos – Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Pulau Pinang, Law Choo Kiang, dilantik sebagai Yang Dipertua (Speaker) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang bagi penggal ketiga berturut-turut, hari ini.

Choo Kiang, 53 adalah calon tunggal dilantik bagi jawatan itu pada Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama, Sidang DUN Ke-15 bagi pemilihan Yang Dipertua di DUN Pulau Pinang.

Pencalonan Choo Kiang dicadangkan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow sebelum disokong Timbalan Ketua Menteri I, Dr Mohamad Abdul Hamid, pada Majlis Angkat Sumpah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang, hari ini.

Pelantikan Choo Kiang yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun itu, dibuat mengikut Peraturan 1, Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat DUN Pulau Pinang.

Sementara itu, ADUN Bayan Lepas Azrul Mahathir Aziz, 47 satu-satunya wakil Amanah dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua DUN Pulau Pinang.

Pada sidang sama, semua 40 wakil rakyat mengangkat sumpah jawatan didahului Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota, diikuti ADUN lain.

Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama, Sidang DUN Ke-15 Pulau Pinang menyaksikan 29 ADUN dari gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mengangkat sumpah selepas berjaya membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos lalu.

Seramai 11 wakil rakyat dari Perikatan Nasional (PN) terdiri tujuh daripada Pas dan empat Bersatu turut mengangkat sumpah jawatan sama.

Related posts

Leave a Comment