MCA mohon maaf kepada umat Islam

JOHOR BAHRU 28 Jan. – MCA Johor memohon maaf kepada umat Islam negara ini susulan perkongsian status menghina serta memperlekehkan agama Islam, yang dilakukan tanpa sengaja seorang pentadbir akaun Facebook parti itu 26 Januari lalu.

Dalam kenyataan, MCA Johor menjelaskan, perkongsian itu bukan sahaja dilakukan tanpa memaklumkan kepada pemimpin utama MCA negeri malah dilakukan pentadbir yang telah lama bersara dari parti.

Individu berkenaan mengakui tersilap berkongsi status daripada pihak lain yang bukan ditulis oleh MCA Johor atau mana-mana pemimpin MCA.

“MCA Johor memohon maaf kepada seluruh umat Islam atas perkongsian status pihak lain di Facebook MCA Johor pada 26 Januari lalu yang dilakukan tanpa sengaja oleh salah seorang pentadbir (admin) Facebook kami.

Pentadbir berkenaan telah lama bersara dari pejabat MCA Johor serta mengakui tersilap berkongsi status daripada pihak lain yang bukan ditulis oleh MCA Johor atau mana-mana pemimpin MCA.

“Pentadbir berkenaan juga telah pun dikeluarkan daripada senarai akses Facebook MCA Johor dan kini ia dikendalikan oleh pentadbir baharu sahaja.

Status yang menimbulkan kontroversi itu juga telah pun diturunkan serta-merta sebaik saya kami menyedarinya selepas aduan diterima semalam,” kata kenyataan dimuat naik di akaun rasmi parti itu.

Terdahulu, MCA Johor kelmarin menerusi akaun Facebooknya memuat naik status menyatakan kerajaan sudah menyediakan dana untuk membantu rakyat Palestin, selain peruntukan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan bagi tujuan percetakan al-Quran, namun untuk tol percuma Tahun Baru Cina, tidak diberikan.

Perbandingan itu, menurut pelbagai pihak menimbulkan sangkaan jahat dan membina persepsi salah terhadap bantuan yang diterima umat Islam dan rakyat Palestin.

Mengulas lanjut, MCA Johor berkata parti itu langsung tidak mempunyai niat untuk mengguris perasan umat Islam apatah lagi menghina agama Islam.

“Kami di MCA Johor tidak pernah terlintas dan tiada niat untuk mengguris hati, jauh sekali menghina atau memperlekehkan agama Islam atau mana-mana agama dan kaum di negara ini.

“Sekali lagi, MCA Johor memohon maaf kepada seluruh umat Islam di Malaysia di atas apa yang berlaku. MCA Johor akan lebih berhati-hati dan memastikan kejadian sama tidak berulang lagi,” kata kenyataan itu.

Terdahulu, Ketua Pemuda UMNO Dr Akmal Saleh dalam kenyataan di FB mengecam kenyataan  yang mempertikaikan peruntukan disalurkan kerajaan untuk pengedaran al-Quran dan Jakim serta bantuan untuk rakyat Palestin dan mengaitkannya dengan ketiadaan bantuan tol percuma sempena Tahun Baru Cina.

“Kalau kamu mahu marah sebab tak dapat tol percuma, itu kamu punya pasallah, tapi jangan sampai bantuan kepada umat Islam kamu nak pertikaikan. Itu namanya bodoh dan bangang,” katanya.

Justeru, beliau mendesak MCA Johor memadam kenyataan berkenaan di media sosialnya serta memohon maaf secara terbuka dalam tempoh 24 jam.

“Jika tidak, laporan polis akan kami lakukan. Cukuplah dengan pemikiran yang bodoh ini yang tidak habis-habis agama Islam seolah-olah diperlekehkan.

“Tidak kira siapa kamu, jika dengan pemikiran sebegini, kami akan lawan habis-habisan,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment