Bawa pulang emas pertama Olimpik

KUALA LUMPUR 31 Jan. – Perdana Menteri Anwar Ibrahim melontar cabaran kepada Kontinjen Malaysia agar membawa pulang emas pertama pada penyertaan temasya Sukan Olimpik Paris yang dijadualkan pada tahun depan.

Cabaran itu dibuat Perdana Menteri, kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Olimpik Malaysia (MOM) serta atlet-atlet negara yang akan menyertai temasya sukan terbesar dunia itu.

“Kita patut hargai usaha mereka (atlet) dan mengharapkan sesuatu yang lebih baik. Cabaran kepada menterinya (Hannah Yeoh), lebih-lebih lagi Presiden Majlis Olimpik Malaysia (Tan Sri Mohamad Norza Zakaria) mesti capai satu pingat emas di Paris.

“Kita usaha dan ikhtiar sebaik mungkin. Saya terima baik dengan sedaya upaya dan kita harus terima kenyataan, dalam apa pun persaingan, kita terima keputusan yang adil dan bijaksana,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada Majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2021 di Dewan Banquet Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh serta timbalannya, Adam Adli Abdul Halim dan Mohamad Norza.

Anwar berkata bagi mencapai kejayaan dalam sukan diceburi, atlet perlu meningkatkan tahap disiplin mereka dan sentiasa memberi fokus tinggi kepada latihan.

“Untuk menjayakan sukan, kita juga memerlukan seluruh semangat. Kekuatan tentunya bagi kerajaan, mesti ada, ditambah usahakan (meningkatkan) kemudahan (infrastruktur sukan yang) lebih baik. Malaysia perlu meningkatkan usaha ini,” katanya.

Justeru, Perdana Menteri menaruh sepenuh keyakinan kepada Hannah serta Adam untuk terus membangunkan prestasi sukan negara dan meraih kejayaan dalam pelbagai jenis sukan yang diceburi atlet negara.

“Beliau seorang menteri yang baik dan ‘dedicated’ (berdedikasi). Sebab itu saya letakkan dua tokoh muda untuk menerajui dan mengendali Kementerian Belia dan Sukan. Sebagai cabaran kepada tokoh muda bagaimana mereka dapat mengendali dengan semangat baru kepada belia terutama sukan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment