KUALA NERUS 22 Jan. – Guru yang ingin melakukan kerja sambilan perlu mendapatkan kebenaran Kementerian Pendidikan (KPM) seperti garis panduan telah wujud ketika ini, kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Beliau berkata, apa sahaja kerja sambilan yang mereka buat tidak boleh mengganggu tugas hakiki dan tidak dilakukan semasa menjalankan tugas hakiki.
“Jadi, pesan saya berilah tumpuan kepada pengajaran dan pembelajaran (PdP) sedia ada. Ini komitmen kita untuk tingkatkan kualiti pendidikan negara dan kita perlukan guru yang fokus dalam kelas, khususnya PdP,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Ramah Mesra bersama Warga Institut Pendidikan Guru Kampus Dato’ Razali Ismail di sini hari ini sebagai mengulas lambakan pegawai perkhidmatan pendidikan yang menjalankan kerja sambilan.
Sementara itu, Fadhlina menafikan dakwaan sekiranya permohonan guru untuk bertukar hanya lebih cepat dan mudah apabila tular di media sosial.
“Tidak betul. Kena ikut proses. Mana ada permohonan tidak ikut proses (tular). Keutamaan kita di KPM dalam perkara ini adalah keperluan pendidikan itu sendiri iaitu pertukaran tidak menjejaskan pendidikan. Kena tengok keseluruhan keperluan dan profesionalisme guru.
“Sebarang pertukaran kena ambil kira ekosistem pendidikan. Keutamaan kita masih lagi pada isu jarak jauh, keselamatan, kesihatan dan sebab-sebab lain yang kita pertimbangkan dalam konteks kebajikan guru.
“Setakat ini, pertukaran tertinggi adalah disebabkan pasangan jarak jauh,” katanya ketika menjawab mengenai isu guru ‘duka lara’.
Fadhlina berkata permohonan pertukaran penempatan mengajar dibuka sepanjang tahun namun pertukaran hanya akan dibuat pada cuti sekolah.
Nnn