KUALA LUMPUR 16 Nov. – Pantun ‘kencing’ yang diucapkan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, Dr Ahmad Maslan mencetuskan kekecohan di Dewan Rakyat hari ini apabila ahli Parlimen lain menyifatkannya sindiran kepada parti politik tertentu
Ahmad yang membahaskan peruntukan Belanjawan 2027 Kementerian Kerja Raya (KKR) di peringkat jawatankuasa membaca pantun berkenaan ketika menjawab pertanyaan Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu).
“Ada banyak lagi janji yang tidak tertunai, saya ada pantun tentang itu. Nak dengar ke tidak?
“Jika tuan pergi memancing jangan lupa membawa umpan. Jika tidak mahu kena kencing, sokong Barisan (Nasional) dan Perikatan (Nasional),” katanya.
Tindakan itu kemudian dibantah RSN Rayer (PH-Jelutong) yang mempersoalkan sama ada Ahmad memberikan jawapan dalam kapasiti sebagai timbalan menteri atau pemimpin UMNO.
“Adakah timbalan menteri (Ahmad) memberi jawapan sebagai timbalan menteri di Kerajaan Perpaduan atau sebagai pemimpin UMNO di sini?
“Takkan kita duduk di sini dan dengar kepada rentetan seperti ini. Jangan hina kami di Dewan Rakyat. Kamu (Ahmad) di sini sebagai menteri dalam Kabinet. Jawab sebagai timbalan menteri dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Rayer turut menggunakan Peraturan Mesyuarat bagi meminta Ahmad menarik balik perkataan berkenaan yang didakwanya tidak sopan serta menyindir Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH).
“Saya minta beliau tarik balik perkataan ‘kencing’ dan minta maaf kepada ahli-ahli Parlimen PH di sini. (Itu) kenyataan tidak sopan,” katanya.
Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) kemudian mencelah dengan mendakwa tindakan Rayer mempersoalkan perkara itu juga seolah-olah menghina Kerajaan Perpaduan.
“Ini ‘backbencher’ menghina kerajaan, lagi teruk lah,” katanya.
Keadaan kemudian bertambah tegang apabila Rayer dengan lantang meminta Takiyuddin supaya tidak mencelah ketika beliau sedang berucap.
“Kamu (Takiyuddin) diam bila saya tengah bercakap,” katanya.
Susulan itu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Dr Ramli Mohd Nor, meminta Ahmad menarik balik perkataan berkenaan selepas menyifatkannya sebagai tidak berparlimen.
“Yang Berhormat, ‘ruling’ saya bahagian kencing itu tidak kena mengena dengan sesiapa. Bagaimanapun, pada pertimbangan saya, ia tidak berparlimen.
“Tarik balik bahagian itu,” katanya.
Ahmad kemudian akur dengan keputusan berkenaan dan menarik balik perkataan terbabit.
“Yang Speaker kata tarik balik. (Perkataan) Kencing, (saya) tarik balik,” katanya.
Nnnnn
