SEPANG 13 Jan. – “Luka lama pun masih belum sembuh, kini ditusuk lagi luka yang baru,” demikian reaksi Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh susulan penemuan produk makanan ‘ham dan cheese’ yang status halalnya diragui dijual di sebuah kedai serbaneka di Universiti Malaya (UM).
Justeru Dr Muhamad Akmal menggesa polis dan agensi berkaitan menjalankan siasatan serta mengambil tindakan terhadap pihak yang terbabit.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka, turut mempersoalkan bagaimana kedai serbaneka KK Mart berkenaan mendapat logo halal yang diletakkan pada bungkusan produk makanan berkenaan.
“Pada Jumaat lalu, mahasiswa UM membuat satu laporan polis susulan kedai serbaneka itu menjual sandwic yang namanya ‘ham and cheese’.
Ham itu ada unsur khinzir, dalam (ham) itu ada daging babi dan sandwic ‘ham and cheese’ dijual dalam UM, yang kebanyakannya orang Melayu ada di situ.
“Kita terima jika ia dijual untuk orang Cina, India atau bukan Melayu, tetapi mengapa ada logo halal tertera di belakang (bungkusan) itu,” katanya dalam satu perkongsian di Facebooknya, semalam.
“Jika sandwic ‘ham and cheese’ pun dapat logo halal, apakah jaminan keselamatan bagi produk halal lain yang dijual di situ.
“Sebelum ini, kedai serbaneka ini turut mengguris hati (umat Islam) berhubung isu penjualan stoking ada kalimah Allah. Kali ini isu ‘ham and cheese’ dapat logo halal dan dijual dalam UM secara terbuka,” katanya.
Susulan itu, Dr Muhamad Akmal berkata, kejadian seumpama itu tidak seharusnya berlaku dan meminta pihak berkaitan berhenti mempersendakan agama Islam.
Terdahulu, UM menutup serta-merta dua premis kedai serbaneka dalam kampusnya susulan dakwaan penemuan produk pek sandwic diragui status halal.
Dalam kenyataan media, UM menyatakan arahan penutupan itu dikeluarkan bagi memberi ruang supaya siasatan dilaksanakan tanpa sebarang gangguan.
Susulan penemuan itu, Dr Muhamad Akmal turut mempersoalkan kesahihan status halal bagi produk lain yang dijual di kedai serbaneka berkenaan.
Nnnn