Teratai catat kes mendadak

PUTRAJAYA 23 Nov. – Kluster Teratai di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang diisytiharkan pada 7 November telah menunjukkan peningkatan kes yang mendadak sejak akhir-akhir ini.

Sehingga 23 November, terdapat 2,524 kes positif (43.8 peratus) Covid-19 yang telah dilaporkan daripada keseluruhan 5,767 kes yang disaring. Sebanyak 1,330 sampel adalah negatif dan 1,913 masih menunggu keputusan.

Kes-kes dalam kluster ini terdiri daripada 164 warganegara dan 2,360 bukan warganegara yang berumur di antara 2 hingga 68 tahun.

Kebanyakan kes daripada kluster ini merupakan pekerja-pekerja kilang di kawasan Meru, Klang. Semua kes positif telah dimasukkan ke hospital dan kontak rapat mereka telah dikuarantin untuk mengelakkan jangkitan kepada pekerja-pekerja lain. Pihak pengurusan kilang telah mengambil inisiatif untuk mengasingkan pekerja-pekerja yang dikenalpasti sebagai kontak rapat di tempat-tempat kuarantin yang tertentu. Sehingga hari ini, tiada kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi dan tiada kes kematian dilaporkan.

Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) telah dilaksanakan sejak 17 November di sekitar kawasan asrama pekerja dan rumah-rumah pekerja.

Jumlah penduduk yang terlibat adalah lebih kurang 5,900 orang. Namun, maklumat yang diperoleh daripada pihak pengurusan kilang mendapati keseluruhan pekerja adalah sebanyak lebih kurang 13,000 yang bertugas di 28 buah bangunan kilang yang berbeza.

Pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Klang sedang bekerjasama dengan pihak pengurusan kilang untuk perancangan membuat saringan ke atas semua pekerja ini.

Related posts

Leave a Comment