Kemasukan warga China meningkat

PUTRAJAYA 10 Jan. –  Kadar kemasukan warga China meningkat 140 peratus kepada 3.9 juta tahun lalu berbanding 1.6 juta pada 2023 berikutan promosi Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama dengan pelaksanaan Pelan Liberalisasi Visa (PLV).

Berdasarkan PLV itu, pelancong China dan India kini diberi pengecualian visa selama 30 hari mulai 1 Disember 2023 hingga 31 Disember 2024.

Ketua Pengarah Imigresen, Zakaria Shaaban berkata, kenyataan kononnya kemasukan pelancong warga China ke negara ini tidak perlu melalui prosedur pemeriksaan seperti tular di media sosial, baru-baru ini adalah tidak berasas.

Katanya, dakwaan itu boleh menjejaskan imej dan kredibiliti jabatan.

Beliau berkata, bagi memantapkan pengurusan kemasukan warga asing dan mengurangkan waktu menunggu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) membenarkan warga asing menggunakan kemudahan ‘autogate’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Terminal 2

Dalam kenyataannya, beliau berkata, ia melibatkan warga asing dari 63 negara termasuk warga China.

Zakaria berkata, pelaksanaan inisiatif autogate tidak menjejaskan aspek keselamatan kerana data pasport dan maklumat kemasukan akan melalui padanan data biometrik serta ‘facial recognition’ yang disimpan dalam cip pasport.

Menurutnya, pelawat yang menggunakan autogate perlu memenuhi syarat-syarat seperti bebas daripada senarai syak dan senarai hitam serta sudah mengisi Kad Ketibaan Digital Malaysia (MDAC) kecuali warga Singapura yang dikecualikan daripada keperluan itu.

Katanya, Jabatan Imigresen menyokong dasar kerajaan untuk mempermudah kemasukan warga asing ke Malaysia, terutamanya pelawat sosial yang mampu menjana ekonomi negara.

“Jabatan juga sentiasa komited dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan pengembara asing yang memasuki Malaysia tanpa kompromi terhadap isu keselamatan,” katanya.

 

nn

 

Related posts

Leave a Comment