Kebun sayur warga asing diserbu

PUTRAJAYA 10 Jan. – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menggempur kawasan kebun sayur berkeluasan sekitar lima hektar di Telok Panglima Garang, Selangor yang diusahakan oleh warganegara asing dari Bangladesh dan Pakistan.

Warganegara  asing yang mengusahakan kebun sepanjang Jalan Halia Muda, Kampung Johan Setia, itu berselindung di sebalik Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) sektor pembinaan yang tamat tempoh pada 9 Januari lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Zakaria Shaaban berkata, operasi dengan kekuatan seramai 69 pegawai pelbagai pangkat memeriksa seramai 70 individu yang terdiri daripada warganegara asing dan seorang warganegara tempatan.

Dalam kenyataannya, beliau berkata , operasi itu hasil aduan awam dan risikan yang dijalankan selama seminggu,

Beliau berkata, hasil pemeriksaan itu, JIM menahan 65 warganegara asing terdiri daripada 42 lelaki warganegara Bangladesh, 13 lelaki dan seorang perempuan warganegara Myanmar, empat lelaki dan dua perempuan warganegara Indonesia, dua lelaki warganegara Pakistan dan seorang lelaki warganegara India.

Kesemua mereka ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155), Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Zakaria berkata, kesemua yang ditahan berumur di antara 18 hingga 60 tahun dan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Operasi itu bermula pada pukul 11.30 pagi melibatkan Cawangan Tindakan Khas, Bahagian Penguatkuasaan bersama-sama Pasukan Taktikal Khas (PASTAK), Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen.

(Foto JIM)

Related posts

Leave a Comment