PRN Sabah: Agihan kerusi BN,PH selesai 96 %

TANJONG KARANG 13 Julai – Pengagihan kerusi antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 (PRN17) sudah 98 peratus selesai, kata Setiausaha Agung UMNO,  Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau berkata kerjasama dan perbincangan itu diadakan bagi mengelakkan pertindanan kerusi yang bakal ditandingi.

“Secara umumnya saya boleh katakan BN dan PH 98 peratus selesai (agihan kerusi). Kerjasama inilah yang memenangkan kita di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota di Johor, Ayer Kuning di Perak dan Nenggiri di Kelantan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tanjong Karang di Dewan Dato Hormat, di sini.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi mengingatkan parti supaya tidak terlalu bongkak dan angkuh dalam usaha bekerjasama dengan sesiapa.

Sementara itu, Asyraf Wajdi berkata pemimpin UMNO tidak pernah berbincang untuk memutuskan kerjasama dengan mana-mana parti menjelang PRN.

Beliau berkata walaupun ada kemungkinan UMNO bergerak secara solo tetapi parti akan mengekalkan bendera BN dalam PRN.

“UMNO tidak pernah bertanding sendirian. Kita bermula dari pilihan raya pertama pada 1955 dengan tiga gabungan (MIC, MCA dan UMNO).

“Perubahan landskap politik pada 1969 menatijahkan wujudnya kerjasama baru yang membabitkan 14 parti dengan BN. Kini, landskap politik sekali lagi berubah yang memerlukan UMNO perlu bijaksana dalam menentukan hala tuju.

“Apa yang penting ialah UMNO kena sentiasa kuat dan berada dalam struktur kerajaan untuk mempertahan agenda Islam dan lain-lain,” katanya.

Sementara itu, di SANDAKAN, PH Sabah masih dalam proses rundingan agihan kerusi antara parti dalam komponen itu.

Pengerusi PH Sabah,  Ewon Benedick, berkata beliau percaya parti komponen sudah mempersiapkan bahagian masing-masing untuk menghadapi PRN Sabah Ke-17.

Katanya, beliau juga yakin kesepakatan antara parti komponen dapat dicapai menjelang pilihan raya itu nanti.

“Rundingan kerusi masih berterusan, mudah-mudahan semuanya berjalan lancar.

Kita (mahu) menonjolkan semangat berpasukan (antara komponen) untuk menghadapi PRN akan datang dan saya amat yakin kesatuan antara parti dapat diperkasakan pada pilihan raya nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Ramah Mesra Bersama Pemimpin dan Taklimat Keusahawanan di Rainforest Discovery Center (RDC).

Ewon yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) juga mahu agar UPKO diberi peluang bertanding semula di kerusi yang pernah ditandingi pada pilihan raya lalu termasuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Libaran.

Related posts

Leave a Comment