75 kanak-kanak maut dalam 7 hari

NEW YORK – Dalam tempoh tujuh hari pertama tahun ini, sekurang-kurangnya 75 kanak-kanak terbunuh akibat keganasan tentera Israel yang berterusan di Semenanjung Gaza, termasuk serangan ke atas zon selamat yang ditetapkan secara unilateral.

Pengarah Eksekutif Agensi Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Catherine Russell, berkata lapan bayi baru lahir meninggal dunia sejak 26 Disember tahun lalu akibat hipotermia, manakala lebih sejuta kanak-kanak Gaza tinggal di khemah sementara yang tidak dapat menahan suhu sejuk.

“Pihak kami sudah lama memberi amaran bahawa tempat perlindungan yang tidak mencukupi, kekurangan akses kepada pemakanan dan penjagaan kesihatan selain keadaan kesihatan yang teruk dan kini cuaca musim sejuk pula.

Semuanya meletakkan nyawa kanak-kanak di Gaza ini dalam bahaya dengan bayi yang baru lahir dan kanak-kanak yang mengalami masalah kesihatan terutamanya. Ia sangat berisiko,” katanya dalam catatan di X.

Sebelum ini, Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian Palestin (UNRWA), dilaporkan berkata, pihak berkuasa pendudukan Israel membunuh seorang kanak-kanak setiap jam di Semenanjung Gaza.

Menurut laporan Agensi Berita Palestin (WAFA), UNRWA dalam satu kenyataan, berkata tiada tempat yang selamat untuk kanak-kanak.

Sejak perang bermula, sejumlah 14,500 kanak-kanak dilaporkan terbunuh di Gaza, menurut UNICEF.

UNRWA menegaskan bahawa tiada justifikasi untuk membunuh kanak-kanak di Semenanjung Gaza, dan semua kanak-kanak yang terselamat mengalami parut fizikal dan psikologi.

Nnn

Related posts

Leave a Comment